RM3.5 bilion dadah yang dirampas dalam simpanan PDRM - Ketua Polis Negara

Hasimi Muhamad
April 10, 2021 13:12 MYT
Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua, kiri) melihat sebahagian daripada 60 tan arang batu yang mengandungi dadah jenis kokain dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion di Pulau Pinang pada 20 September 2019. - Bernama
KLANG: Sejumlah dadah bernilai RM3.5 bilion berada dalam simpanan polis ketika ini hasil rampasan dalam pelbagai serbuan mengekang jenayah berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, daripada jumlah tersebut, nilai rampasan terbesar adalah kokain bernilai RM2.5 bilion yang dirampas di Pulau Pinang.
“Begitu juga bertan-tan syabu, berbagai-bagai jenis pil yang kita rampas.
“Ia tidak termasuk ketum... ketum ini bertan-tan dan yang paling menakutkan adalah rampasan syabu yang bertimbun-timbun,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor, di sini.
Jelas Abdul Hamid, nilai rampasan tersebut menunjukkan bahawa begitu ramai rakyat di negara ini terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Jadi, (rampasan) berbilion-bilion ini kita akan minta Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik untuk mengumpulkan statistik idan kongsikan kepada pihak media supaya masyarakat tahu bahawa ancaman nombor satu negara ini ialah dadah,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid berkata polis ketika ini sedang memperkasakan Skuad Polis Aman Wanita (Amanita) dalam usaha mencegah kes jenayah dan dadah di kawasan komuniti.
Bagaimanapun tambahnya, polis akan memastikan keselamatan skuad Amanita terjamin ketika menyalurkan maklumat.
“Jabatan berkenaan seperti siasatan dan jenayah daerah akan menghantar pasukan untuk menangani kes-kes.
“Begitu juga dengan dadah, OCPD akan mengarahkan pasukan dadah turun.
“Jadi peranan Amanita ini untuk mendapatkan komitmen dan kerjasama masyarakat.
“Apabila (sesuatu maklumat) sampai kepada Amanita, mereka yang bertanggunjawab ke atas perkara itu supaya tindakan dapat dijalankan.
“Jadi tidak timbul isu bahawa Amanita ini menghadapi risiko atau sebagainya. Mereka tidak digalakkan bertindak sendirian,” jelasnya.
Selain itu, Abdul Hamid sekali lagi menyeru anggota dan pegawai polis agar mengembalikan dan memperkasakan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, mana-mana anggota yang hilang intergiri perlu kembali ke pangkal jalan.
#Ketua Polis Negara #KPN #polis #PDRM #Abdul Hamid Bador #Dadah #rampasan dadah #ketum #kokain #Syabu #amanita
;