RM27.8 juta untuk tambah baik keselamatan pengguna jalan raya
Bernama
Februari 2, 2016 08:30 MYT
Februari 2, 2016 08:30 MYT
Sebanyak RM27.8 juta dibelanjakan dalam melaksanakan rehabilitative works atau kerja penambahbaikan di 60 lokasi jalan raya dan lebuh raya yang kerap berlaku kemalangan pada tahun lepas.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan.
"Kerajaan dan saya secara peribadi amat prihatin serta sedih dengan kes-kes kemalangan yang berlaku terutamanya apabila kemalangan tersebut turut mengorbankan nyawa dan mengakibatkan kedukaan kepada keluarga mangsa," katanya pada majlis Penyempurnaan Perlampuan di sepanjang Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina semalam.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Fadillah berkata tidak berbaloi jika memiliki lebuh raya dan jalan raya kelas pertama tetapi disebabkan sikap sesetengah pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan, membawa kepada berlakunya kemalangan sehingga kehilangan nyawa.
"Daripada rekod dan analisa yang dibuat, faktor manusia merupakan penyumbang terbesar yang menyebabkan berlakunya kemalangan iaitu melebihi 80 peratus," katanya.
Dalam masa sama, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya membelanjakan sejumlah wang mereka untuk meningkatkan aspek-aspek keselamatan di lebuhraya masing-masing, katanya.
"Antaranya penggunaan turapan jenis 'micro surfacing', penambahan peralatan keselamatan seperti pemasangan papan tanda LED, 'Flashing amber', 'transverse bar', 'rolling barrier' dan sebagainya," katanya.
Pada majlis itu, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) sepanjang 44.3 km kini dilengkapi lampu jalan berteknologi 'diod pemancar cahaya' (LED) bernilai RM16 juta.
Fadillah berkata projek yang melibatkan 549 batang tiang menggunakan lampu LED itu mengambil masa selama lapan bulan, bermula 1 April tahun lepas dan siap mengikut jadual pada 31 Dis.
"Keseluruhan lampu sedia ada di kawasan plaza tol dan juga persimpangan bertingkat jajaran lebuh raya ini juga akan ditukar kepada jenis LED secara berperingkat.
"Dalam hal ini, syarikat konsesi Lebuhraya Lekas telah membelanjakan tambahan RM1 juta bagi menukar lampu jenis 'High Pressure Sodium Vapour' kepada lampu LED di bangunan dan lampu limpah di Plaza Tol Setul dan laluan utama Setul," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata lebuh raya itu bakal menjadi tumpuan pengguna jalan raya yang inginkan keselesaan perjalanan.
"Ia akan jadi tumpuan khususnya kerana dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan terutamanya pada setiap Jumaat petang dan hari minggu," katanya.
#Fadillah Yusof
#kemalangan jalan raya
#Kemalangan Lebuh Raya
#lampu LED
#Menteri Kerja Raya
#Rehabilitative works