RM22 juta peruntukan untuk nelayan Sabah tahun ini - LKIM

Bernama
Mac 19, 2025 04:15 MYT
Muhammad Faiz mengingatkan nelayan di Sabah agar tidak menyalahgunakan subsidi diesel yang diberikan kerajaan dan ia digunakan sepenuhnya untuk menangkap ikan sahaja. - Gambar fail/BERNAMA
SANDAKAN: Sebanyak RM22 juta diperuntuk bagi manfaat kira-kira 14,000 nelayan di Sabah tahun ini dalam usaha menjaga kebajikan mereka, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.
Beliau berkata peruntukan itu melibatkan elaun sara hidup nelayan.
"Selain itu, peruntukan yang disediakan termasuk untuk membina jeti kecil dan melibatkan kerja-kerja baik pulih 50 rumah nelayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ramah mesra MADANI Ramadan bersama para nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Libaran di sini semalam.
Muhammad Faiz juga mengingatkan nelayan di Sabah agar tidak menyalahgunakan subsidi diesel yang diberikan kerajaan dan ia digunakan sepenuhnya untuk menangkap ikan sahaja.
"LKIM mengambil berat dan serius tentang soal ketirisan minyak diesel, kita akan ambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dengan penjualan minyak ini termasuk membatalkan lesen atau menggantung penerimaan subsidi selain jeti yang terlibat dengan ketirisan ini ditutup," katanya.
Menyentuh mengenai program semalam, beliau berkata seramai 110 nelayan di PNK Libaran serta golongan asnaf menerima sumbangan bakul makanan dan duit raya RM100 seorang.
"LKIM berharap sumbangan ini akan menambahkan keceriaan dan kegembiraan mereka yang akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya sambil menambah inisiatif itu mampu membantu meringankan beban golongan sasar khususnya nelayan yang memainkan peranan penting dalam memastikan sekuriti makanan laut sentiasa terjamin.
-- BERNAMA
#peruntukan #kebajikan #Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia #nelayan sabah
;