RM2 juta rancakkan program JEJAK tahun ini, persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026
Bernama
Mei 16, 2024 17:13 MYT
Mei 16, 2024 17:13 MYT
SEPANG: Sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi bantuan insentif Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) tahun ini melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai sokongan awal menggerakkan koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata insentif itu sebagai persediaan koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka menarik 26.1 juta pelancong.
Beliau berkata insentif itu bertujuan memastikan koperasi khusus terlibat dalam industri pelancongan dapat bersaing dengan pemain industri pelancongan yang lain bagi meningkatkan pendapatan koperasi dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada anggota koperasi.
"Dengan sokongan awal ini, dapat tingkat semangat dan motivasi koperasi bersiap hadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.Sekiranya diterima baik dan beri pulangan besar kepada koperasi yang terlibat maka akan teliti tahun seterusnya untuk tambah insentif khusus kepada sektor pelancongan," katanya.
Beliau berkata kepada media selepas majlis perasmian JEJAK di Pusat Aktiviti Homestay Banghuris, Kg Hulu Chuchoh, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Ewon berkata ketika ini terdapat 215 koperasi yang terlibat dalam industri pelancongan dan mendapat manfaat dari insentif tersebut agar mampu bersaing menyediakan perkhidmatan yang sama baik dengan penyedia lain seperti hotel, kafe serta syarikat besar.
Beliau berkata selain JEJAK, koperasi boleh memohon bantuan untuk mengembangkan operasi dan perkhidmatan melalui Bantuan Pembangunan SKM yang berjumlah RM6.75 juta dan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) berjumlah RM100 juta.
Insentif JEJAK menyasarkan penglibatan 160 koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan di bawah industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf.
Koperasi yang layak menerima insentif itu dengan tujuan untuk pemberian diskaun atas pakej atau produk perniagaan yang disediakan sehingga 30 peratus.
Melalui insentif itu juga, SKM menyasarkan seramai 20,000 pelancong terdiri daripada rakyat Malaysia dan pelancong luar negara menerima manfaat daripada pakej yang ditawarkan oleh koperasi.
Pada 2023, keanggotaan koperasi adalah seramai 7.22 juta orang dengan jumlah koperasi berdaftar sebanyak 15,809 dengan aset sebanyak RM165.89 bilion, syer dan yuran sebanyak RM17.44 bilion serta perolehan sebanyak RM64.56 bilion.
Pencapaian perolehan sebanyak RM64.56 bilion pada 2023 melangkaui sasaran Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2025 iaitu sebanyak RM60 bilion.
-- BERNAMA