RM2 juta disalur kepada Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi
Astro Awani
Mei 29, 2024 19:54 MYT
Mei 29, 2024 19:54 MYT
PUTRAJAYA: Sebanyak RM2 juta disalurkan kepada Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) bagi bantuan kecemasan kepada koperasi yang terjejas akibat bencana alam.
Replikasi cek tersebut diserahkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Ewon Benedick hari ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Rusli Jaafar, yang mewakili Gerakan Koperasi.
Menurut Suruhanjaya Koperasi Malaysia dalam satu kenyataan, tabung berkenaan bagi membantu koperasi yang terjejas akibat bencana alam termasuk banjir, ribut, kilat, tanah runtuh, pokok tumbang serta bencana alam lain.
"Ia adalah meliputi kos sebahagian pembaikan kerosakan premis/aset/produk koperasi dengan jumlah maksimum RM30 ribu kepada koperasi yang layak.
"Ini dapat membantu membangunkan semula aktiviti ekonomi koperasi yang terjejas," jelas suruhanjaya tersebut, hari ini.
Hadir sama semasa penyerahan cek tersebut ialah Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk R Ramanan.
TBKK diwujudkan bagi membantu koperasi-koperasi yang terjejas dan menghadapi masalah khususnya akibat bencana alam atau faktor-faktor lain di luar kawalan.
Pengendalian tabung kecemasan tersebut adalah tertakluk kepada peruntukan Peraturan-Peraturan Koperasi (Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi) 2010.
Ewon sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menaikkan jumlah TBKK daripada Rm1 juta kepada RM2 juta pada tahun 2023 dalam membantu koperasi di negara ini yang terjejas akibat bencana alam.