RM2.92 bilion diperuntuk dalam Rolling Plan Pertama RMK12 bagi kelestarian alam sekitar
Bernama
September 29, 2021 05:01 MYT
September 29, 2021 05:01 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.92 bilion diperuntukkan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk kelestarian alam sekitar dan air, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata daripada peruntukan itu, 351 projek akan dilaksanakan melibatkan 277 projek sambungan dan 74 projek baharu yang melibatkan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM44.6 bilion.
"Strategi digariskan dalam RMK12 dilihat mampu membina semula ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Pendekatan model ekonomi hijau juga adalah amat bertepatan untuk melengkapkan perancangan ekonomi makro dan analisis impak ke atas kelestarian alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata pengumuman komitmen sasaran karbon negara iaitu sasaran pelepasan bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050 juga merupakan pemacu kepada pendekatan ekonomi hijau.
"Perincian langkah-langkah bagi mencapai sasaran ini adalah berdasarkan kepada kajian Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon ( LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir 2022," katanya.
Memperincikan perkara itu, Tuan Ibrahim berkata LT-LEDS akan menggariskan strategi dan tindakan bagi mitigasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bagi sektor-sektor ekonomi utama negara yang akan menjadi asas untuk menentukan hala tuju dan tahun sasaran pelepasan bersih sifar negara.
"Saya yakin komitmen sasaran pelepasan bersih sifar akan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan memacu kecekapan sumber dan mengekalkan daya tahan ekosistem alam sekitar.
Saya akan memastikan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan peranannya dengan berkesan di bawah tema ketiga RMK12 iaitu 'Melonjakkan Kemampanan' yang memberi tumpuan kepada mempercepat pertumbuhan hijau serta mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air serta pengukuhan tadbir urus alam sekitar," katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata dua pemacu perubahan dikenal pasti bagi menjayakan tema berkenaan iaitu "Pemacu Perubahan 8: Menerima Guna Ekonomi Kitaran' dan 'Pemacu Perubahan 9: Mempergiat Penerimagunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM)".
"KASA akan melaksanakan konsep ekonomi kitaran bagi sektor plastik melalui Rangka Kerja Pengurusan Plastik selari dengan aspirasi mempercepatkan peralihan daripada sistem ekonomi linear dan mewujudkan ekosistem ke arah ekonomi kitaran.
"Perluasan tanggungjawab pengeluar secara sukarela sebelum beralih kepada skim mandatori dan digerakkan oleh industri akan menjadi tonggak utama dalam pelaksanaan roadmap (rangka kerja) ini," katanya.
Beliau berkata KASA juga bertanggungjawab melaksanakan sebanyak empat sasaran terpilih daripada sembilan sasaran terpilih yang ditetapkan di bawah agenda Mempercepat Pertumbuhan Hijau untuk Kemampanan dan Daya Tahan.
Empat sasaran tersebut adalah pengurangan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2030 berdasarkan Intensiti Pelepasan pada 2005; 25 peratus perolehan hijau kerajaan; 67 peratus pengurangan penggunaan hidroklorofluorokarbon (HCFC) dan pelaksanaan 10 pelan pengurusan lembangan sungai bersepadu (IRBM).
"Selain itu, lima sasaran terpilih di bawah agenda Mempertingkat Kemampanan Tenaga dan Mentransformasi Sektor Air antaranya 98 peratus liputan akses kepada air bersih dan selamat di luar bandar dan 10 Kajian Jumlah Beban Harian Maksimum dijalankan untuk sungai kritikal," katanya.
-- BERNAMA