RM2.9 bilion bayaran kepada pencarum seluruh negara setakat Jun - Perkeso

Bernama
Ogos 13, 2024 09:30 MYT
Sejumlah RM2.9 bilion faedah pembayaran dilaksanakan Perkeso kepada pencarum yang layak seluruh negara bermula Januari hingga Jun tahun ini.
GUA MUSANG: Sejumlah RM2.9 bilion faedah pembayaran dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pencarum yang layak seluruh negara di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bermula Januari hingga Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, caruman melibatkan 708,089 penerima faedah, merangkumi pelbagai kategori seperti Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Hilang Upaya Berpukal dan Berkala, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pencen Ilat, Faedah Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah.
"Alhamdulillah, berdasarkan siri kempen yang dijalankan setakat ini juga selain daripada pekerja yang layak berdaftar di bawah Akta 4, semakin ramai petani, pekebun, peladang dan nelayan daripada kategori mereka yang bekerja sendiri ini juga sudah terlibat dengan caruman Perkeso dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789).
"Kita nak seperti inilah supaya apabila berlaku kemalangan secara tiba-tiba, maka Perkeso dapat bantu kembali keluarga yang mengalami kejadian tersebut.
"Oleh itu, kita menggalakkan masyarakat supaya mereka mencarum Perkeso kerana akhirnya apabila berlaku musibah, caruman ini akan dapat kepada mereka atau waris keluarga," katanya kepada Bernama di Kampung Renok Baru B, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, dalam tempoh yang sama juga seramai 518,000 majikan aktif telah berdaftar dengan Perkeso di bawah Akta 4, melibatkan 7.2 juta pekerja.
"Sehingga 2 Ogos lepas, seramai 678,000 orang telah berdaftar di bawah skim perlindungan keselamatan sosial bekerja sendiri," katanya.
Terdahulu, Abdul Rahman menyampaikan sumbangan kepada balu pencarum arwah Jamaluddin Awang Long yang meninggal dunia akibat serangan jantung dan menerima Faedah Penakat berjumlah RM1,745.25 sebulan.
Rosmawati Muhammad, 52, melahirkan rasa syukur kerana permohonannya diluluskan dalam tempoh yang singkat.
"Saya baru pergi buat permohonan dalam seminggu lepas, Alhamdulillah tak sangka lulus dengan cepat dan pencen yang diterima ini sebenarnya dapat meringankan beban saya," katanya yang kematian suami, Jun lepas. - BERNAMA
#perkeso #pencarum perkeso #Faedah Hilang Upaya Sementara #Faedah Penakat
;