RM2,700 adalah anggaran gaji kehidupan wajar, bukan pendapatan median - BNM

Bernama
Mei 3, 2018 17:52 MYT
Gaji kehidupan wajar itu adalah berdasarkan pendapatan yang diperlukan untuk mengekalkan tahap sara hidup minimum yang berpatutan. - Gambar hiasan
Pendapatan bulanan sebanyak RM2,700 yang dipaparkan Laporan Tahunan 2017 Bank Negara Malaysia (BNM) adalah aras anggaran sementara gaji kehidupan wajar bagi seorang individu bujang dewasa di Kuala Lumpur dan bukannya merujuk kepada pendapatan median.
Ketika menjelaskannya, FactWatch.my yang merupakan inisiatif BNM menyatakan, konsep gaji kehidupan wajar itu juga berbeza daripada gaji minimum dan berikutan itu, ia tidak menggantikan kewajaran gaji minimum semasa dalam lingkungan antara RM920 dan RM1,000.
"Gaji kehidupan wajar itu adalah berdasarkan pendapatan yang diperlukan untuk mengekalkan tahap sara hidup minimum yang berpatutan.
"Selain memenuhi keperluan asas, gaji kehidupan wajar itu juga membolehkan penglibatan bermakna dalam masyarakat, peluang bagi pembangunan peribadi dan keluarga serta kebebasan daripada tekanan kewangan yang serius," katanya.
Kenyataan FactWatch.my itu sebagai mengulas dakwaan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon bahawa BNM menyarankan RM2,700 sebagai pendapatan median untuk seorang individu bujang dewasa yang menetap di bandar.
Menurut FactWatch.my, gaji kehidupan wajar itu juga berperanan sebagai garis panduan untuk majikan mempertimbangkan pembayaran gaji pekerja mengikut keperluan tahap kehidupan minimum yang berpatutan.
Bagaimanapun, kemampuan membayar gaji kehidupan wajar itu perlu dinilai mengikut produktiviti pekerja agar ia tidak diterjemahkan sebagai peningkatan kos yang tidak berpatutan dan boleh menjurus kepada kenaikan inflasi, katanya.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #BNM #bujang #gaji #gaji bulanan #gaji minimum #kehidupan wajar #Kuala Lumpur
;