RM2.5 juta elaun kerja 'overtime' diperuntukkan kepada penguat kuasa JPJ

Bernama
Ogos 1, 2024 08:00 MYT
Loke berkata elaun khas itu akan diberikan kepada anggota penguat kuasa yang bertugas di luar waktu kerja termasuk dalam operasi bersepadu dengan agensi kerajaan yang lain. - Gambar fail
MUAR: Kementerian Pengangkutan memperuntukkan RM2.5 juta untuk elaun kerja tambahan masa kepada lebih 2,000 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara tahun ini.
Menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook berkata elaun khas itu akan diberikan kepada anggota penguat kuasa yang bertugas di luar waktu kerja termasuk dalam operasi bersepadu dengan agensi kerajaan yang lain.
Beliau berkata elaun itu akan dibayar dalam masa terdekat bagi menjaga kebajikan anggota penguat kuasa JPJ, di samping memastikan kelancaran setiap operasi yang dijalankan.
"Elaun ini untuk anggota penguat kuasa ... kadangkala operasi diadakan di luar waktu pejabat, ada tambahan masa, ada waktu larut malam, kita minta mereka berkorban masa dan sebagai pekerja mereka layak menerima elaun tambahan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu JPJ Cawangan Muar di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Aedy Fadhly Ramli.
Sementara itu, berkenaan bangunan baharu JPJ Cawangan Muar, Loke berkata projek itu yang sebelum ini termasuk dalam satu daripada projek sakit berjaya disiapkan dan mula beroperasi pada September 2023, setelah terlibat dalam insiden kebakaran pada November 2009.
Beliau berkata bangunan bernilai RM19 juta itu akan memberikan manfaat kepada kira-kira 850 pelanggan setiap hari atau lingkungan 80,000 pelanggan setahun.
"Bangunan yang terletak di tanah berkeluasan satu hektar itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelanggan di Muar, tetapi juga di daerah sekitar seperti Batu Pahat dan Tangkak," katanya dan menambah pencapaian hasil JPJ Cawangan Muar ialah RM51 juta tahun lepas, antara penyumbang tertinggi kutipan hasil tahunan jabatan itu di negara ini.
-- BERNAMA
#JPJ #elaun kerja lebih masa #Anthony Loke #penguat kuasa