RM2.13 bilion untuk atasi banjir, pulihara sungai dan hakisan pantai di Pahang
Bernama
Julai 14, 2022 18:01 MYT
Julai 14, 2022 18:01 MYT
PEKAN: Sebanyak 12 projek mengurangkan risiko banjir, mengawal hakisan pantai dan pemuliharaan muara serta pembangunan sungai di Pahang telah diluluskan dan sedang dilaksanakan dengan kos RM2.13 bilion.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu antara lain melibatkan tujuh projek pemuliharaan muara dan pengawalan hakisan pantai dengan keseluruhan kos RM787.65 juta.
"Antara projek pemuliharaan muara sungai itu adalah bagi menangani masalah mendapan muara Sungai Pahang yang sedang dilaksanakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran dengan kos sebanyak RM700 juta.
"Projek tersebut telah bermula secara berfasa dan kini berada di fasa ketiga yang bermula pada 22 Jun lepas dengan nilai RM380 juta, dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Pahang Fasa Tiga Pakej Tiga di Pejabat Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan(UPPP) di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Dr Md Nasir Md Noh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis Datuk Khairuddin Mahmud.
Tuan Ibrahim berkata walaupun belum siap sepenuhnya, kesan positif projek tersebut sudah dapat dilihat apabila bot nelayan dapat keluar masuk dengan lebih lancar tanpa berdepan masalah air cetek di muara Sungai Pahang.
Pelaksanaan projek itu juga akan memanfaatkan lebih 700 nelayan dan melindungi lebih 200 buah bot berdaftar daripada rosak akibat muara yang cetek dan pukulan ombak, selain memberi limpahan manfaat kepada 31,800 penduduk Kampung Tanjung dan Pekan daripada risiko banjir pantai.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata Empangan Kobat di Kuantan yang telah uzur juga akan dinaik taraf dengan anggaran kos RM200 juta dalam waktu terdekat kerana ia penting dalam membekalkan air bersih kepada penduduk bandar raya itu serta ke kawasan perindustrian Gebeng.
-- BERNAMA
#banjir
#Pahang
#pulihara sungai
#Kementerian Alam Sekitar
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#RMK-12
#Rancangan Malaysia Ke-12
#KASA
#hakisan pantai