RM18 bilion kutipan GST mungkin digunakan untuk pembangunan - Zahid
Hafiz Marzukhi
Ogos 9, 2018 13:34 MYT
Ogos 9, 2018 13:34 MYT
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata RM18 bilion kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak hilang semata-mata sebaliknya bermungkinan telah digunakan untuk tujuan pembangunan.
“Saya tidak fikir ia kehilangan (RM18 bilion) kerana ia masuk ke dalam wang ke akaun yang disatukan maka wang itu harus dilihat berada di dalam kumpulan dana yang disatukan.
“Kalau wang itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang tidak mematuhi peraturan maka barulah itu namanya kecurian," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Namun, tambah beliau, jika wang itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui bajet ataupun ucapan belanjawan atau di luar ucapan belanjawan maka peruntukan tambahan perlu dikemukakan di dewan untuk dibahaskan.
Pada Rabu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat mendedahkan sejumlah RM18 bilion pengembalian GST didakwa telah hilang di bawah pentadbiran kerajaan BN sebelum ini.
Menurutnya, dana tersebut sepatutnya dikembalikan kepada peniaga dalam tempoh dua minggu selepas mereka memfailkan tuntutan masing-masing.
#bajet
#Barisan Nasional
#cukai
#Dewan Rakyat
#GST
#Lim Guan Eng
#menteri
#Parlimen
#pembangkang
#rakyat
#UMNO
#Zahid Hamidi