RM15 juta anggaran peruntukan bagi baik pulih Jalan Paitan - Bung Moktar

Radhi Muslim
Januari 26, 2021 19:00 MYT
Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jalan raya itu yang melibatkan laluan kuarters Loji Rawatan Air Paitan akan dibaik pulih selepas terputus akibat bencana alam berkenaan.
BELURAN: Kementerian Kerja Raya Sabah menganggarkan RM15 juta dana diperlukan bagi membaik pulih kerosakan jalan akibat tanah runtuh di kilometer 127.7 Jalan Paitan-Kanibungan, di sini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jalan raya itu yang melibatkan laluan kuarters Loji Rawatan Air Paitan akan dibaik pulih selepas terputus akibat bencana alam berkenaan.
"Itu (RM15 juta) hanya anggaran dana yang diperlukan... mungkin kurang atau lebih daripada jumlah itu.
"Kita akan meminta laporan dari pakar-pakar yang terlibat dalam pembinaan semula jalan ini," katanya selepas melawat laluan tersebut pada petang Selasa.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah telah mengarahkan Pejabat Daerah Kecil Paitan untuk mengadakan mesyuarat khas dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Geologi Sabah, Jabatan Pengaliran dan Saliran serta Jabatan Tanah dan Ukur.
"Saya mahu masalah ini dapat diselesaikan dalam empat atau lima bulan ini. Situasi ini telah menimbulkan masalah dengan menjejaskan ekonomi rakyat," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bekalan air bersih di Sabah, Bung Moktar menegaskan semua jurutera daerah di seluruh negeri itu diminta menyediakan kertas kerja bagi menangani masalah tersebut.
Katanya, kertas kerja tersebut penting dalam usaha menambah baik tindakan dan penyaluran bekalan air bersih terawat kepada penduduk Sabah.
#Jalan Paitan #jalan runtuh #Paitan #Kinabungan #Bung Moktar Radin #Timbalan Ketua Menteri
;