RM130 juta naik taraf jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang
Muhafandi Muhamad
September 19, 2022 08:20 MYT
September 19, 2022 08:20 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan persekutuan sudah memperuntukkan bajet bagi pembesaran dan naik taraf jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun berkata, peruntukan tersebut belum dibelanjakan kerana kedua-dua pihak Thailand dan Malaysia masih lagi berbincang mengenai perkara itu.
"Kerajaan sudah meluluskan pembesaran jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok ini dan telah luluskan pembinaan ICQS Rantau Panjang cuma mengenai jambatan, Menteri Kanan Kerja Raya sudah beberapa kali adakan pertemuan dengan pihak Thailand melibatkan perkongsian kerana jambatan antarabangsa.
"Kita difahamkan perbincangan sudah diadakan panjang lebar tengan design dan sebagainya, kita sudah sediakan peruntukan tapi belum dibelanjakan peruntukan tersebut kerana hal berkaitan," katanya.
Naik taraf dan pembesaran jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang merupakan projek antarabangsa yang memerlukan persetujuan dua negara, Malaysia dan Thailand.
Ia membabitkan reka bentuk, panjang dan lebar yang belum lagi dimuktamadkan oleh kedua belah pihak.
Kerajaan, katanya, memperuntukkan lebih RM130 juta bagi projek berkenaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan meluluskan projek tersebut selain projek pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Takbai dan Pengkalan Kubor di Tumpat.
Sementara itu, Mustapa berkata setakat 1 September, sejumlah 396 projek pembangunan di bawah RMK12 diluluskan di Kelantan.
Ia melibatkan 75 projek baharu dan 321 projek sambungan dengan RM1.1 bilion peruntukan telah dibelanjakan setakat ini.
Projek berkenaan termasuk, antaranya, pakej Central Spine Road, pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan naik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.