RM123 juta sumber biodiversiti hilang akibat pencerobohan Taman Negara

Bernama
Ogos 10, 2016 12:44 MYT
Taman Negara menyimpan pelbagai kekayaan biologi yang perlu dipertahankan. - Gambar hiasan
Negara dianggarkan kehilangan sumber biodiversiti seperti kayu gaharu dan hidupan liar bernilai RM123.17 juta dari tahun 2002 hingga 2013 akibat aktiviti pencerobohan dalam Taman Negara.
Hal itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah II Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Fakhrul Hatta Musa dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Justeru kerajaan melaksanakan Operasi Rangkaian Penguatkuasaan Biodiversiti 1Malaysia (1MBEON) untuk mengurangkan kehilangan sumber biodiversiti negara tersebut.
"Menerusi 1MBEON yang mula dilaksanakan pada 2014, kerugian itu berjaya dikurangkan sebanyak 40 peratus daripada tahun sebelumnya iaitu RM15 juta kepada RM6 juta," katanya.
Fakhrul Hatta berkata biodiversiti negara adalah khazanah negara yang tidak ternilai.
Program 1MBEON yang mula dilaksanakan pada 2014, adalah pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan bersama Perhilitan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mencegah pencerobohan dan pengambilan sumber biodiversiti negara khususnya oleh warga asing.
Beliau berkata usahasama itu boleh dibanggakan kerana melibatkan kos rendah, namun berimpak tinggi dan pantas dari segi tindakan, sekali gus menepati kriteria NBOS itu sendiri.
Menerusi 1MBEON, Fakhrul Hatta berkata anggota Perhilitan dan ATM juga dapat mempelajari dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan masing-masing ketika berada di hutan.
"Kakitangan jabatan dapat mempelajari teknik serta taktikal rondaan di hutan, bacaan peta dan sistem komunikasi selain ditugaskan mendapatkan data mengenai spesies hidupan liar, laluan yang digunakan penceroboh untuk memasuki Taman Negara dan seterusnya membuat tangkapan," katanya.
Pada masa yang sama, menurutnya peranan anggota ATM juga adalah untuk memastikan keselamatan anggota Perhilitan dalam melaksanakan tugas berkenaan.
Fakhrul Hatta berkata lebih 90 individu kebanyakannya warga Kemboja, Vietnam dan Thailand berjaya ditahan selain rakyat tempatan menerusi 23 operasi yang dijalankan sejak 1MBEON dilaksana pada 2014.
"Kebanyakannya telah menjalani hukuman di bawah Akta 716, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan juga Enakmen Taman Negara," katanya.
Akta 716 bertujuan melindungi dan memulihara hidupan liar dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya dan hanya terpakai apabila haiwan-haiwan liar ditemukan bersama penceroboh ketika tangkapan dibuat.
Bagaimanapun, jika tidak ada haiwan liar ditemukan, mereka hanya akan didakwa di bawah Enakmen Taman Negara.
Fakhrul Hatta berkata warga asing yang ditahan dan disabitkan dikenakan hukuman penjara antara empat bulan hingga 12 bulan kerana kebanyakannya tidak mampu membayar denda walaupun jumlah penalti yang dikenakan di bawah Enakmen Taman Negara adalah sangat rendah.
"Kita kini dalam proses meminda enakmen yang ada kerana penalti yang dikenakan terlalu rendah. Denda yang setimpal juga diharap dapat dikenakan selain hukuman rotan kepada pendatang asing tanpa izin yang ditangkap (dan disabitkan)," katanya.
Enakmen Taman Negara Kelantan dan Terengganu menetapkan nilai kompaun serendah RM25 dan denda oleh mahkamah sehingga RM300 jika sabit kesalahan, manakala Enakmen Taman Negara Pahang mengenakan kompaun separuh nilai denda tidak melebihi RM5,000 dan denda mahkamah sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, lima daripada 12 operasi 1MBEON tahun ini telah dijalankan sehingga bulan lepas dengan tangkapan sebanyak 10 individu iaitu tujuh rakyat tempatan, dua Vietnam dan seorang warga Thailand.
#kekayaan negara #pencerobohan taman negara #sumber biodiversiti #Taman Negara
;