RM120 juta diperlukan untuk baik pulih sistem paip

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Mei 6, 2022 06:00 MYT
Sekiranya peruntukan tersebut dapat dikumpulkan dalam masa terdekat, projek membaik pulih dan menukar sistem paip akan segera dilaksanakan. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memerlukan peruntukan sebanyak RM120 juta bagi membaik pulih dan menukar sistem paip yang menyalurkan bekalan air bersih ke Pulau Redang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mamad Puteh, keadaan paip berusia lebih 25 tahun itu yang uzur menyebabkan sering berlaku kebocoran.
Ia menjejaskan pengguna di kawasan terlibat seperti di Pulau Redang dan beberapa kawasan di daerah Setiu.
Menurut Mamad, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos kira-kira RM70,000 setiap kali kerosakan paip berlaku.
"Sekarang kita sedang mencari bajet untuk menyelesaikan masalah ini. Sekiranya paip air ke redang dapat diselesaikan, sudah tentu pengguna di daerah ini akan menikmati bekalan air yang baik. Yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.
"Sekarang ini masalahnya ataupun kebocoran paip tersebut membazirkan kita 50 peratus air ke dalam laut, 50 peratus agak banyak.
"Jadi kita kena buatlah dengan kaedah apa sekalipun supaya paip air di dasar laut ini dapat dilaksanakan dengan segera," katanya.
Jelas beliau bagi mengelakkan pembaziran air bersih yang lebih banyak, Syarikat Air Terengganu (SATU) telah mengurangkan tekanan air ke Pulau Redang.
Mamad berkata sekiranya peruntukan tersebut dapat dikumpulkan dalam masa terdekat, projek membaik pulih dan menukar sistem paip akan segera dilaksanakan.
#sistem paip #bekalan air bersih #Pulau Redang #baik pulih
;