RM114.6 juta semarakkan kembali industri pelancongan Selangor - Amirudin
Firdaus Azil
Disember 10, 2021 12:20 MYT
Disember 10, 2021 12:20 MYT
PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan dana RM114.6 juta di bawah Bajet Selangor 2022 bagi beberapa inisiatif khusus, untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan negeri itu, selepas dua tahun ia terjejas akibat wabak COVID-19.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan untuk tempoh antara 2021 hingga 2025 itu, akan melibatkan kesemua industri berkaitan.
Tambahnya lagi, Selangor beraspirasi untuk sentiasa berada selangkah di hadapan, dan ingin menjadi pemangkin kepada pemulihan sektor pelancongan negara secara keseluruhan.
“Kesemua pemain industri pelancongan Selangor perlu terus memperkenalkan pakej dan tarikan yang unik untuk menarik minat pelancong, sekali gus memacu sektor ini.
“Pemulihan sektor pelancongan Selangor adalah sebagai kebangkitan semula antara penyumbang terbesar negeri ini, selepas tempoh dua tahun yang cukup mencabar (ekoran penularan COVID-19,” katanya, sewaktu berucap melancarkan Tourism Selangor Global Convention 2021 di sini, hari ini.
Antara inisiatif di bawah dana RM114.6 juta itu, jelas Menteri Besar lagi, ialah - pemberian geran pemulihan untuk pemain industri; pelaksanaan Kempen 'Pusing Selangor Dulu' dan 'Kempen Selangor Indah'; persiapan SOP Pelancongan Selangor; penganjuran Tourism Selangor Global Convention 2022; dan pembangunan infrastruktur pelancongan.
Berucap lanjut, Amirudin berkata, keinginan pelancong untuk kembali melancong dalam norma baharu, perlu menjadi fokus utama sekiranya semua pihak ingin melihat kembali pemulihan itu.
Jelas beliau, inisiatif promosi serta pendekatan yang bersesuaian adalah perlu untuk memenuhi kehendak yang semakin meningkat.
“Elemen penentu yang wujud ekoran COVID-19 adalah transformasi digital – memandangkan wabak ini telah meningkatkan penggunaan teknologi digital – dan inisiatif ini yang sering dititikberatkan Kerajaan Selangor dalam menggalakkan perniagaan beradaptasi dengan keadaan semasa.
“Selangor juga bertanggungjawab untuk memastikan kelestarian pelancongan di negeri ini. Maka saya percaya Tourism Selangor Global Convention 2021 adalah satu usaha yang kritikal untuk mencapai visi tersebut, seterusnya menyemarakkan kembali industri pelancongan negeri ni,” katanya lagi.