RM100 juta tidak cukup untuk naik taraf, bina semula sekolah daif
Rohana Wahed
November 3, 2018 20:16 MYT
November 3, 2018 20:16 MYT
Berapa peruntukan keseluruhan untuk menaik taraf dan membina semula lebih 1,000 sekolah daif di Sarawak?
Itu merupakan persoalan yang dibangkitkan oleh Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Madya Dr Jeniri Amir susulan peruntukan RM100 juta untuk seluruh negara.
Menurutnya, dengan jumlah yang terlalu sedikit itu, beliau pasti isu sekolah daif tidak akan ditangani mahupun selesai.
"Jadi kita harap untuk kajian separuh penggalnya nanti dan untuk tahun-tahun mendatang, aspek ini turut diberikan perhatian kerana kebanyakan sekolah daif ini berada di luar bandar," katanya.
Tambah Jeniri, jika kerajaan ingin merapatkan jurang daripada segi kemudahan pendidikan dan jurang sosioekonomi, kemudahan-kemudahan pendidikan luar bandar perlu ditingkatkan setaraf dengan kualiti kemudahan sekolah di bandar.
"Bagaimana mungkin kita dapat meletakkan harapan tinggi untuk supaya murid dan pelajar luar bandar ini berdiri sama tinggi dengan pelajar-pelajar di bandar kalau soal kemudahan asas seperti bilik darjah ini berada jauh di takuk atau standard yang sepatutnya," katanya.
Ini katanya perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan Pakatan Harapan dan tidak sama sekali meminggirkan Sabah, Sarawak dan masyarakat luar bandar di seluruh negara.