RM10 juta tangani banjir kilat di Kelantan
Wana Abd Rahman
Mac 24, 2022 18:09 MYT
Mac 24, 2022 18:09 MYT
TUMPAT: Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan RM10 juta bagi menangani masalah banjir kilat yang melanda negeri ini khususnya di jajahan Kota Bharu.
Peruntukan itu diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang memaklumkan ia dipersetujui melalui melalui mesyuarat mingguan exco kerajaan Kelantan semalam.
"Peruntukan itu akan digunakan untuk menangani masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk," katanya selepas majlis Jupo Mato dengan rakyat peringkat jajahan Tumpat serta pengisytiharan Taman Bandar Tumpat di Kampung Baru Nelayan, di sini, hari ini.
"Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengenal pasti kawasan yang terlibat dan kerja-kerja seperti penukaran longkang dan pembersihan alur akan dilakukan," katanya
Ahmad berkata, masalah banjir kilat yang berlaku terutama di kawasan Kota Bharu, apabila tiba musim tengkujuh akan diatasi dengan kadar segera.
Antara lokasi yang dikenal pasti adalah kawasan Kubang Kerian, Ketereh, Kota Kubang Labu dan beberapa jalan bandaran.
Kerja kerja pembersihan longkang, penukaran longkang kepada bersaiz besar dan mencuci alur yang menjadi laluan air supaya aliran menjadi lebih cepat antara yang akan dilakukan oleh pihak berkaitan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, pembinaan Taman Bandar Tumpat bertujuan membangunkan eko pelancongan di kawasan persisir pantai Tumpat.
Katanya kerajaan Kelantan meluluskan 5.33 juta peruntukkan untuk membangunkan taman Bandar Tumpat dengan keluasan kawasan 60 ekar.
"Usaha ini akan dilaksanakan oleh JPS termasuk mendalami beberapa sungai yang bermula tahun 2021.
"Tanah yang diambil sama ada dari kawasan pulau Teluk Rejuna, sebagai contoh, akan ditambun di kawasan taman Bandar Tumpat," jelasnya
"Dengan adanya taman ini, kerajaan mengharapkan ianya dapat meningkatkan sosio ekonomi tempatan dan menjadi tarikan pelancong terutama apabila Kelantan berada dalam fasa endemik nanti " katanya
Peruntukan itu diluluskan sejak tahun 2021 dengan pembinaannya dibuat secara berperingkat.
Kawasan persisir pantai di taman Bandar Tumpat akan ditanam dengan lebih 300 pokok bagi mengelakkkan berlaku hakisan dan benteng untuk mengurangkan angin dari laut terutama pada musim tengkujuh.