RM10 juta persiapan jadikan Pangkor pulau bebas cukai

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 29, 2019 18:10 MYT
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak Tan Kar Hing (tiga, kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman (tiga, kiri) ketika melancarkan logo Pangkor Pulau Bebas Cukai hari ini. - Bernama
Kerajaan negeri Perak telah membelanjakan kira-kira RM10 juta setakat ini sebagai persiapan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai mulai 1 Januari 2020.
Sumber itu diperolehi daripada peruntukan awal kerajaan negeri dan beberapa kementerian seperti Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman berkata, kerajaan negeri berharap akan mendapat peruntukan tambahan daripada beberapa kementerian lain untuk membina dan memperbaiki infruktur di samping mencantikkan Pulau Pangkor.
“Antara perkara yang penting adalah infrastruktur, logistik, penginapan, pusat beli-belah yang kita akan dapat beberapa pelabur yang akan datang.
“Kita berharap penduduk tempatan mengambil peluang Pulau Pangkor sebagai bebas cukai untuk mereka menjana ekonomi secara kerjasama strategik dengan pelabur-pelabur daripada luarlah. Jadi itu antara perkara yang kita sedang buat,” ujar Zainal Azman.
Pada November tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 mengumumkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai mulai 1 Januari 2020.
Pada Julai lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menjalankan kajian berhubung infrastruktur di pulau tersebut.
#Kerajaan Negeri Perak #Lim Guan Eng #pelancongan #Penginapan #pulau bebas cukai #Pulau Pangkor #Zainal Azman Abu Seman
;