RM1 untuk program intervensi penggunaan garam beri pulangan RM60 - Dzulkefly
Bernama
November 14, 2024 18:58 MYT
November 14, 2024 18:58 MYT
KUALA LUMPUR: Setiap RM1 dibelanjakan kerajaan untuk program pengurangan garam memberi pulangan pelaburan (ROI) sebanyak RM60.06 dalam tempoh 15 tahun, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata jumlah itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan ROI sebanyak RM6.64 untuk program aktiviti fizikal dan RM5.93 untuk program kawalan tembakau dalam tempoh yang sama.
"Pokoknya kalau kerajaan berbelanja dengan membuat tumpuan terhadap apa pun yang terkait dengan garam seperti pengurangan garam, setiap RM1 yang kita belanja akan berakhir dengan seolah-olah kita mendapat pulangan RM60.
"Bermaksud sama ada seseorang itu dapat mengelakkan serangan jantung, angin ahmar ataupun mengelakkan dia bila ada hipertensi dia tak pergi kerja. Semua itu apabila diukur dari sudut wang ringgit, ia akan memberikan pulangan setiap RM1 yang dimasukkan dalam tabung kita dapat RM60 semula," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Laporan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Malaysia dan Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 dan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025-2030 kepada ahli Parlimen di bangunan Parlimen hari ini.
Selain itu, Dzulkefly berkata kerajaan juga bersedia untuk mengkaji semula undang-undang berkenaan kawalan terhadap rokok elektronik (vape) sekiranya terdapat penemuan baharu tentang kesan penggunaannya.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan laporan yang dilancarkan hari ini dihasilkan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pasukan Petugas Antara Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi NCD.
"Laporan ini memberi analisis berkaitan impak ekonomi akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia serta mengenal pasti intervensi kesihatan awam yang menawarkan pulangan pelaburan terbaik untuk kesejahteraan jangka panjang," menurut kenyataan itu.
Menurut KKM laporan tersebut memfokuskan kepada empat jenis penyakit tidak berjangkit utama iaitu penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes dan respiratori kronik yang memberikan beban kewangan signifikan kepada individu dan negara.
Menurut kajian itu, beban ekonomi akibat empat penyakit tidak berjangkit tersebut yang terpaksa ditanggung oleh negara dianggarkan berjumlah RM64.2 billion, dengan kos penjagaan kesihatan langsung RM12.4 billion dan kos tidak langsung RM51.8 billion.
-- BERNAMA