RM1 bilion kutipan zakat direkod pada 2023, peningkatan 11 peratus - MAIWP
Bernama
November 24, 2024 23:15 MYT
November 24, 2024 23:15 MYT
LABUAN: Sebanyak RM1 bilion zakat berjaya dikutip di seluruh Wilayah Persekutuan pada 2023, peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2022, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Beliau berkata kutipan dari Januari hingga November tahun ini melebihi RM700 juta manakala agihan zakat setakat ini hampir RM880 juta, mengatasi angka kutipan.
"Ia pencapaian luar biasa, di Labuan sahaja MAIWP mengagihkan RM68.6 juta bantuan setakat Oktober," katanya pada penutup Karnival Ulang Tahun MAIWP ke-50 peringkat Labuan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan di sini hari ini.
Syed Kamarulzaman berkata MAIWP telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi membantu masyarakat kurang berkemampuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan termasuk menyediakan bantuan pengajian bagi peringkat diploma, ijazah dan kemahiran vokasional kepada anak-anak asnaf.
"Pendidikan dan kemahiran mampu mengubah kehidupan anak-anak ini untuk masa depan yang lebih baik, insya-Allah," katanya.
Beliau berkata selain bantuan yuran dan elaun pengajian, MAIWP memperkenalkan program Gerobok Rezeki Universiti dengan peruntukan RM1 juta untuk memastikan pelajar universiti mendapat akses kepada bekalan makanan.
Syed Kamarulzaman berkata sebanyak RM3.4 juta daripada dana zakat pula diperuntukkan bagi Skim Bantuan Komputer Riba yang memanfaatkan 110 pelajar di Labuan.
"Usaha ini amat membantu meringankan beban keluarga dan ibu bapa yang tidak dapat menyediakan peralatan pembelajaran selain menyokong perjalanan akademik para pelajar," katanya.
Selain itu katanya, MAIWP juga memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan dengan membantu isi rumah asnaf keluar daripada kemiskinan seterusnya menjadi pembayar zakat.
Mengulas mengenai karnival sambutan ulang tahun ke-50 MAIWP, Syed Kamarulzaman berkata acara dua hari bermula semalam itu menyediakan pelbagai aktiviti termasuk Walimatul Urus Perdana, MAIWP Fun Walk, kejohanan bola sepak dan gerai jualan Rahmah.
-- BERNAMA