RM1 bilion bagi program eMADANI, manfaat untuk 10 juta rakyat - MOF

Bernama
November 29, 2023 17:09 MYT
Anwar berkata, kerajaan berharap sumbangan eMADANI itu dapat meringankan beban kewangan rakyat menjelang akhir tahun serta musim cuti persekolahan selain memupuk budaya pembayaran tanpa tunai. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bagi Program eMADANI yang bermula Isnin depan dengan manfaatnya bakal dinikmati oleh sehingga 10 juta rakyat kalangan B40 dan M40 yang layak, kata Kementerian Kewangan (MoF).
Dalam kenyataan media susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai program itu pada pagi ini, kementerian berkata penerima berkenaan akan menerima kredit e-tunai sekali sahaja sebanyak RM100.
Tempoh pendaftaran dan tuntutan eMADANI bermula dari jam 8 pagi 4 Dis, 2023 sehingga 20 Feb, 2024 melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan berharap sumbangan eMADANI itu dapat meringankan beban kewangan rakyat menjelang akhir tahun serta musim cuti persekolahan selain memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.
"Pelaksanaan program eMADANI yang bermula Isnin depan (4 Dis, 2023) adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan terutama langkah yang menyokong agenda pendigitalan ekonomi negara serta membantu rakyat secara langsung," kata beliau.
Program eMADANI telah diumumkan pada majlis peluncuran kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai, 2023.
MoF berkata penggunaan kredit eMADANI serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat hanya boleh dibelanjakan secara fizikal sahaja sehingga 29 Feb, 2024.
"Kredit eMADANI juga boleh dimanfaatkan oleh peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kemudahan kod QR DuitNow menggunakan salah satu e-dompet terbabit dan tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan," katanya.
Empat penyedia perkhidmatan e-dompet yang menyertai program berkenaan adalah MAE, Setel, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet.
Selain RM100 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet berkaitan akan memberi insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun atau mata ganjaran sepanjang tempoh program berkenaan.
"Syarat-syarat kelayakan adalah warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas pada 1 Jan, 2023 dan Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 Nov, 2023; atau mempunyai pendapatan RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) setakat 15 Julai, 2023," kata kementerian itu.
-- BERNAMA
#Program eMADANI #Kementerian Kewangan #kod QR DuitNow #Penerima Sumbangan Tunai Rahmah
;