RM1.9 bilion bayaran balik pinjaman diterima berakhir 30 Apr lalu - PTPTN
Ehsan A Marisah
Mei 23, 2022 15:50 MYT
Mei 23, 2022 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima sebanyak RM1.9 bilion bayaran balik melibatkan 443,733 peminjam sehingga 30 April lalu.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, jumlah itu merupakan bayaran oleh peminjam yang menikmati insentif diskaun bayaran balik pinjaman berjumlah RM206.89 juta.
Justeru, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua peminjam PTPTN yang telah membuat bayaran balik sekali gus menikmati diskaun disediakan.
“Ini membuktikan sokongan peminjam terhadap usaha Kerajaan dan PTPTN dalam melestarikan dana pembiayaan pendidikan untuk masa depan generasi akan datang dengan melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman mereka.
“Terima kasih juga kepada pihak kerajaan yang sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan peminjam PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kata kenyataan itu, PTPTN berharap agar kerjasama dan sokongan padu daripada semua peminjam dalam menunaikan tanggungjawab untuk membuat bayaran balik dikekalkan bagi memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
PTPTN juga komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada para peminjam melalui bayaran balik pinjaman dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, cepat dan selamat melalui aplikasi myPTPTN.
Terdahulu melalui pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021, Kerajaan telah bersetuju memberikan insentif diskaun bayaran balik kepada peminjam PTPTN bermula 1 November hingga 30 April 2022.