"RM1,400 sangat mahal" - Waris mangsa COVID-19 kesal kos tayamum membebankan

Muhafandi Muhamad
Ogos 10, 2021 16:41 MYT
Nurul Wahidah Ariffin mendedahkan dia antara individu yang terpaksa membayar RM1,400 kos tayamum seperti yang diminta pihak pengurusan di Unit Forensik sebuah hospital di Kota Bharu. - Gambar Astro AWANI
TUMPAT: Seorang anak yang kehilangan ibu akibat COVID-19 tampil mendedahkan dia antara individu yang terpaksa membayar RM1,400 kos tayamum seperti yang diminta pihak pengurusan di Unit Forensik sebuah hospital di Kota Bharu.
Nurul Wahidah Ariffin, 36, yang juga seorang peniaga kecil- kecilan memaklumkan ibunya meninggal dunia pada 6 Mei lalu iaitu pada 10 hari terakhir Ramadan.
Kematian ibunya itu dimaklumkan oleh pihak wad hospital pada tengah hari dan selepas berbuka puasa, dia tiba di Unit Forensik hospital berkenaan.
Setiba di bilik jenazah, Nurul Wahida mendakwa, dia diminta menyediakan RM1,400 iaitu kos untuk memandikan jenazah ibunya secara tayamum.
“Saya terkejut (bila diminta sediakan RM1,400) dengan keadaan kita begini, dengan saya tak ada (duit) simpanan… nasib baik abah saya ada simpanan, kalau kena pada diri saya memang tak mampu nak bayar RM1,400 itu.
“Kena bayar dulu barulah hospital akan mandikan (jenazah). (Kos) mandi jenazah sampai RM1,4000 berat (membebankan) sangat untuk orang seperti kami, kena kurangkanlah (kos) itu, kita tidak ada (duit) simpanan,” ujar Nurul Wahida.
Ketika berkongsi kisahnya dengan Astro AWANI, Nurul Wahida sebak dan beberapa kali menangis mengenangkan tindakan pihak hospital meminta waris melunaskan kos terlebih dahulu sebelum urusan tayamum dilakukan.
Kata Nurul Wahida, kerana tiada pilihan, dia menjelaskan kos berkenaan kepada tukang mandi jenazah yang dipanggil oleh pihak hospital.
Sementara bagi urusan pengebumian pula, jawatankuasa khairat kematian di kampungnya telah menjelaskan bayaran penggalian liang lahad.
Kisah Nurul Wahida itu akan menjadi teladan buat dia dan keluarga.
Namun, dalam masa sama, dia memikirkan apa yang akan terjadi sekiranya situasi yang sama perlu dilalui oleh golongan yang tidak berkemampuan.
Justeru, dia memohon pihak berkuasa campur tangan dalam menangani kes-kes seumpama itu.
Sementara itu, Astro AWANI akan berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak berwajib berkaitan isu ini.
Pada Isnin, Astro AWANI menyiarkan pendedahan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah kematian akibat COVID-19 mengenai caj yang tinggi bermula dari RM1,300 hingga RM1,800 bagi kos tayamum di beberapa buah hospital di negeri Kelantan.
Pengurusan Jenazah | Caj tayamum jenazah COVID-19 tidak masuk akal
#tayamum #kos tayamum #jenazah mangsa COVID-19 #Unit Forensik #Hospital #Nurul Wahidah Ariffin #COVID-19
;