RM1.3 juta dibelanja bersihkan Wilayah Persekutuan daripada iklan haram tahun lepas

Bernama
April 18, 2017 13:49 MYT
Perbelanjaan itu merangkumi kerja pembersihan seperti menanggalkan kesan gam kekal, mengecat semula permukaan terjejas, membaiki infrastruktur yang rosak dan menggunakan cat antipelekat di lokasi strategik. - Gambar hiasan
Kementerian Wilayah Persekutuan menggunakan perbelanjaan sebanyak RM1.3 juta pada tahun lepas untuk kerja menurunkan iklan tanpa permit di tempat awam sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata perbelanjaan itu merangkumi kerja pembersihan seperti menanggalkan kesan gam kekal, mengecat semula permukaan terjejas, membaiki infrastruktur yang rosak dan menggunakan cat antipelekat di lokasi strategik.
"Antara tempat awam yang terlibat adalah papan tanda, jalan, pondok telefon, tiang lampu, tiang lampu isyarat, peti utiliti, jejantas, penghadang tepi jalan dan pokok-pokok di sekitar tiga Wilayah Persekutuan itu," katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mengenai kos yang ditanggung bagi melaksanakan kerja pembersihan iklan tanpa permit dan tindakan ke atas pelaku.
Loga Bala berkata pemasangan iklan haram itu masih berleluasa disebabkan oleh beberapa faktor seperti sabotaj, mengelak untuk membayar permit iklan serta pelaku yang tidak mendapat lesen untuk menggantung iklan.
-- BERNAMA
#Dewan Negara #Iklan haram #loga bala mohan #Putrajaya
;