Rizalman Ibrahim dilantik Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Saharudin Musthafa
November 14, 2024 11:30 MYT
November 14, 2024 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Usahawan dan personaliti ternama tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim melakar satu lagi sejarah manis buat dirinya apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Pengasas Kumpulan Syarikat Rizalman Ibrahim (RIC) itu diberi kepercayaan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan penuntut, tenaga pengajar dan pengurusan di pusat pengajian tinggi terulung negara itu selama tiga tahun.
Astro AWANI difahamkan, pelantikan itu dibuat dalam usaha universiti berkenaan meningkatkan kecemerlangannya sebagai sebuah universiti perdana dalam memaju dan menyebarkan ilmu pengetahuan.
Menyambut baik lantikan itu, Rizalman, 53, berkata, beliau secara peribadi tidak menyangka akan diberi peluang sebesar itu, apa lagi kepercayaan itu datangnya daripada pimpinan universiti perdana di negara ini.
Menurut anak kelahiran George Town, Pulau Pinang itu, selama ini segala usaha dakwah yang beliau gerakkan semata-mata sebagai persiapan untuk berhadapan fasa hidup yang akan datang.
Namun begitu, Rizalman tidak menolak, ilmu yang beliau peroleh harus dimanfaatkan untuk kebaikan semua pengikutnya di akaun media sosial secara khususnya dan bersama-sama dengan umat Islam lain
“Dalam masa sama seperti kita sedia maklum salah satu daripada tuntutan agama kita ialah ilmu yang ada harus dikongsi dengan orang lain agar pahala kita akan terus mengalir berpanjangan.
“Kerana itu, saya terlalu bersyukur kerana usaha saya selama ini menelaah dan mendalami ilmu-ilmu agama dan dikongsi dengan seluruh masyarakat dipandang secara positif oleh Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya,” jelas Rizalman dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Tugas baharu beliau di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya mencakupi perkongsian ilmu dan pengalaman bukan sahaja dengan pelajar, bahkan, pasukan tenaga pengajar dan pengurusan juga akan dilibatkan sama.
Komitmen terbaharu itu, tegasnya, seiring dengan prinsip beliau selama ini iaitu sentiasa mengajak masyarakat untuk tidak berhenti daripada menimba ilmu.
“Seperti yang saya sering sebut, realitinya, kita semua (manusia) datang dari sebuah ‘universiti’ (dunia) yang sama. Dunia adalah universiti kepada kita. Manusia adalah pelajar-pelajarnya dan saya bersyukur kerana dipilih sebagai salah seorang tenaga pembimbing,” jelas beliau yang menyifatkan pelantikan ini amat besar maknanya sebagai khalifah di bumi Allah SWT.
“Saya sedar yang dalam diri saya juga masih ada banyak kekurangan. Justeru, bersama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya saya bukan hanya akan berkongsi ilmu yang saya ada, bahkan saya sendiri akan rebut peluang untuk menimba ilmu daripada ekosistem yang akan saya sertai kelak.”
Sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Rizalman akan memikul peranan sebagai penasihat kepada fakulti dan jabatan dalam aktiviti program khususnya yang berkaitan dengan penyelidikan dan perundingan seiring dengan hasrat pusat pengajian itu.
Rizalman juga akan ditawarkan memberi syarahan kepakaran dan seminar kepada penuntut-penuntut dan tenaga pengajar di universiti berkenaan.
Pendekatan sedemikian dikenal pasti oleh Universiti Malaya ke arah mencapai matlamat melalui kolaborasi dengan ahli-ahli profesional, korporat dan pemimpin yang telah melakar kejayaan memberangsangkan dalam bidang masing-masing.
Untuk rekod, ini merupakan lantikan akademik kedua buat Rizalman selepas dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS) Universiti Teknologi Mara pada Ogos 2023.
Sementara itu, bagi RIC, pelantikan ini merupakan penghargaan yang besar daripada universiti perdana negara kepada Rizalman sejajar dengan dedikasi beliau dalam kerja-kerja meningkatkan syiar Islam dan kebajikan.
RIC juga optimis dengan amanah baharu yang diberikan kepada Rizalman akan menjadi inspirasi dan motivasi buat beliau untuk terus memainkan peranan dalam membentuk perspektif yang lebih holistik terhadap pengajian Islam.