Rizal Mansor terajui Muafakat demi pendidikan anak bangsa
Bernama
November 6, 2017 11:18 MYT
November 6, 2017 11:18 MYT
Pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor dilantik sebagai Presiden Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) susulan mesyuarat agung tahunan badan itu di sini, pada Ahad.
Beliau menerajui Muafakat untuk tempoh dua tahun sehingga 2019.
"Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Saya terima sebagai amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas demi anak bangsa. Dengan amanah yang diberikan, saya akan sedaya-upaya mewakili suara para ibu bapa di semua Maktab Rendah Sains Mara, Kolej Mara dan Kolej Profesional Mara," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau percaya dengan sokongan dan kerjasama anggota jawatankuasa yang dipilih, Muafakat akan terus mengorak langkah sebagai sebuah badan yang sentiasa menyokong, membantu dan berusaha mengukuh institusi pendidikan Mara selari dengan objektif penubuhannya.
"Saya anggap kepercayaan yang diberikan ini adalah satu tugasan untuk saya berbakti dan berkhidmat dalam membangun modal insan yang berkualiti dalam kalangan anak bangsa," kata Rizal.
Muafakat merupakan badan yang dianggotai ibu bapa, pensyarah dan guru MRSM, Kolej Mara dan Kolej Profesional Mara.
Setakat ini, terdapat 61 cawangan Muafakat di seluruh negara dengan keanggotaan 50,000 orang.
Rizal turut menerajui Team Salute Malaysia selaku presiden organisasi itu yang banyak menjalankan aktiviti kebajikan.
-- BERNAMA
#MARA
#MRSM
#Muafakat
#pendidikan
#presiden
#Presiden Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia
#Rizal Mansor