Rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah AS$102.6 bilion pada 15 Mei 2020

Bernama
Mei 22, 2020 16:44 MYT
BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa setakat 15 Mei 2020 antaranya terdiri daripada rizab mata wang asing dan kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa.
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$102.6 bilion pada 15 Mei berbanding AS$102.5 bilion yang dicatatkan 30 April lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata kedudukan paras rizab itu memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa setakat 15 Mei 2020 terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$95.1 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.2 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$2.0 bilion), dan lain-lain aset rizab (AS$3.2 bilion).
Aset termasuk emas, pertukaran mata wang asing dan rizab lain, termasuk SDR, yang berjumlah RM444.05 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM10.03 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM5.75 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.79 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion), dan aset lain (RM14.89 bilion).
Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM163.80 bilion), mata wang dalam edaran (RM125.41 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM152.91 juta), deposit Kerajaan Persekutuan (RM2.15 bilion), deposit lain (RM15.69 bilion), kertas Bank Negara (RM16.50 bilion), peruntukan SDR (RM7.87 bilion), dan liabiliti lain (RM2.23 bilion).
-- BERNAMA
#bank #Bank Negara #Bank Negara Malaysia #bilion #BNM #kerajaan #paras #rizab #rizab antarabangsa
;