Riza Aziz beri keterangan kali kedua kepada SPRM

Bernama
Julai 4, 2018 12:12 MYT
Anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Riza Aziz (kiri) ketika hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi memberi keterangan kali kedua berhubung siasatan 1MDB. - Foto Bernama
Riza Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini bagi memberi keterangan buat kali kedua berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Riza yang menaiki kereta jenis Audi dan berpakaian sut itu tiba pada 3.05 petang tadi.
Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perfileman yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat diarahkan hadir semula hari ini untuk diambil keterangan.
Lebih 20 pengamal media tempatan dan asing berkumpul di hadapan bangunan SPRM menunggu ketibaan Riza.
Semalam, Riza telah diambil keterangan berhubung perkara yang sama lebih sembilan jam sebelum meninggalkan bangunan SPRM itu pada kira-kira 10.30 malam.
Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan anak tiri Najib itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB yang dipercayai menggunakan ratusan juta wang syarikat berkenaan untuk menghasilkan filem di persada Hollywood.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull semalam turut mengesahkan bahawa Riza hanya diambil keterangan sahaja dan tiada keperluan untuk menahan beliau setakat ini.
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Mohd Shukri Abdull #Najib Razak #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia