Riwayat beca terakhir Dungun dapat perhatian

Astro Awani
Mei 7, 2023 06:45 MYT
Suatu masa dahulu beca tersebut juga digunakan untuk mengangkut pekerja lombong bijih besi dari Bukit Besi di Stesen Kereta Api Nibong untuk pulang ke rumah. - Astro AWANI
DUNGUN: Persatuan Sejarah Malaysia akan membaik pulih satu-satunya beca terakhir di daerah Dungun yang pernah menjadi simbol pengangkutan utama di daerah itu.
Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia kawasan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata, kos sebanyak RM3,000 diperlukan bagi membaik pulih beca yang berusia 63 tahun itu tanpa diubah suai dengan alat gantian moden.
Katanya, beca milik Allahyarham Raja Salleh Raja Yusof yang digunakan sejak tahun 1960-an itu juga akan dipamerkan di Muzium Dungun sebagai ikon sejarah pengangkutan awam terawal.
“(Beca) ini merupakan salah satu ikon pengangkutan awam satu ketika dahulu , bukan sahaja di daerah Dungun malah juga di negeri Terengganu dan juga di negeri-negeri lain di Malaysia sebab beca amat mudah dan merupakan satu pengangkutan yang biasanya digunakan oleh orang ramai terutama sekali oleh suri rumah untuk ke pasar,”katanya.
Beliau berkata, suatu masa dahulu beca tersebut juga digunakan untuk mengangkut pekerja lombong bijih besi dari Bukit Besi di Stesen Kereta Api Nibong untuk pulang ke rumah.
Justeru, pihaknya berhasrat untuk memulihara sejarah beca terakhir agar dapat dikongsi dan diwarisi generasi baharu pada masa depan.
#beca terakhir Dungun #Persatuan Sejarah Malaysia #Wan Mohd Rosli Wan Ngah #ikon pengangkutan
;