Ritual tolak banjir 'Raja Bomoh' dan 'Puteri Zaleha' bercanggah ajaran Islam - Ahmad Marzuk

Muhafandi Muhamad
Januari 6, 2022 19:20 MYT
Menerusi video berdurasi lebih 25 minit itu, lelaki itu mendakwa upacara berkenaan adalah petua zaman dahulu dan meminta semua tempat tidak banjir bukan saja di Teluk Intan tetapi seluruh dunia. - Foto Facebook Perak Press
JELI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meneliti tindakan sewajarnya dikenakan terhadap Raja Bomoh dan seorang wanita yang melakukan ritual menolak musibah banjir dipercayai dilakukan di Dataran JPS Teluk Intan baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata tindakan individu berkenaan jelas bercanggah dengan ajaran agama selain terdapat unsur khurafat serta tahyul.
“Saya telah pun mengarahkan pihak JAKIM untuk meneliti apa tindakan yang sewajarnya untuk dilakukan , kerana individu ni memang sentiasa mencari publisiti sebegitu.
"Walaupun tidak mendapat sambutan sangat, tetapi tindakan itu jelas membawa unsur yang bercangah dengan ajaran agama kita sendiri, iaitu ada unsur-unsur khurafat dan juga tahyul yang dilakukan dalam upacara itu, jadi kita serah kepada pihak berkuasa agama negeri (JAIPk) di tempat mana dia lakukan perkara tersebut, dengan kerjasama daripada JAKIM sendiri,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular Raja Bomoh dan seorang wanita yang melakukan ritual menolak musibah.
Menerusi video berdurasi lebih 25 minit itu, lelaki itu mendakwa upacara berkenaan adalah petua zaman dahulu dan meminta semua tempat tidak banjir bukan saja di Teluk Intan tetapi seluruh dunia.
Terdahulu, Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan bantuan Musaadah banjir kepada 200 penduduk membabitkan peruntukan RM100,000 di Kuala Balah, Jeli, petang tadi.
Dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai penangguhan ibadah umrah, Ahmad Marzuk menasihatkan jemaah umrah supaya bersabar kerana pendekatan yang diambil kerajaan itu sebagai langkah pencegahan memandangkan jangkitan COVID-19 varian Omicron dari Jemaah yang pulang dari negara terutama Arab Saudi sangat tinggi.
BACA: Raja Bomoh kembali lagi, kali ini dengan 'Puteri Zaleha' buat ritual tolak bala
Sementara itu di Perak, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata Ibrahim, 71, membuat laporan mengenai ritual itu di Balai Polis Teluk Intan kira-kira 12.30 tengah malam tadi.
"Raja Bomoh membuat laporan polis menafikan upacara yang dilakukan olehnya tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Agama Islam sebaliknya hanya mendoakan keselamatan semua penduduk supaya tidak berlaku banjir," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata laporan itu telah dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk siasatan JAIPk.
#Raja Bomoh #Puteri Zaleha #ritual menolak bala #Ahmad Marzuk Shaary
;