Rita Rudaini bercerita tentang Utan Aji
Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 16, 2018 07:12 MYT
Ogos 16, 2018 07:12 MYT
Nama Rita Rudaini Mokhtar tidak perlu diperkenalkan lagi di negara ini, namun artikel ini ditulis bukan untuk menyingkap perjalanan karier pelakon itu dalam dunia seni.
Astro AWANI yang berlintas langsung di negeri itu selama lima hari bermula Khamis bagi meneliti landskap sosio budaya dan isu masyarakat, sempat singgah ke tempat kelahiran selebriti itu di Perlis.
Anak kelahiran Utan Aji itu menceritakan, dia telah melalui zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain yang membesar di situ.
Begitupun, nasib mungkin menyebelahinya apabila dia memanfaatkan kurniaan bakat dan rupa hingga membolehkannya menongkah arus dalam dunia seni lakonan.
Berdasarkan tinjauan, nyata apabila dengan menyebut namanya sahaja, seakan-akan terpancar rasa bangga dan kagum oleh anak tempatan di sini.
Rita Rudaini menjadi ikon dan kebanggaan negeri Perlis kerana nama yang ditempa selama ini di persada hiburan tanah air.
Kepada Astro AWANI Rita memberitahu, dia yang kini sibuk menguruskan kerjaya dan dua anaknya, teruja apabila ada yang mahu mengetahui tentang kampung halamannya.
“Saya lahir dan membesar di Utan Aji. Zaman kanak-kanak saya semuanya di kampung sehinggalah umur saya 18 tahun barulah saya berhijrah ke Kuala Lumpur tempat saya belajar dan bekerja.
"Kalau sebut saja Perlis, semua orang akan tahu dan semua orang akan pergi ke Kuala Perlis kerana makanan laut di sana sangat sedap dan murah selain daripada mangga Harum Manis," katanya.
Walaupun sesibuk mana pun Rita, jika ada masa terluang pastinya dia akan pulang ke kampung halaman untuk melepaskan rindu.