Risiko tanah runtuh di Bandar Puchong Jaya
Hakim Rahman
Februari 1, 2013 15:09 MYT
Februari 1, 2013 15:09 MYT
Penduduk di Jalan Tempua, Bandar Puchong Jaya berdepan risiko menjadi mangsa tanah runtuh.
Ia berikutan berlakunya gelinciran tanah dikawasan perumahan mereka yang didakwa berpunca daripada pembinaan projek perumahan mewah setinggi 33 tingkat berhampiran rumah mereka.
Tambah membimbangkan, kawasan tersebut tersebut sebelum ini pernah ditimpa tragedi tanah runtuh pada tahun 2006.
"Masa projek berkenaan baru dimulakan, mereka (pemaju) mendakwa hanya bangunan dengan tiga blok akan dibina tetapi kini bangunan dengan lima blok dengan ketinggian 33 tingkat yang dibina, jadi penduduk disini takut kerana ia merupakan kajadian kedua berlaku dekat sini," kata Yong Wee Teck, salah seorang penduduk.
Menurut Jaya Veera pula, pada mulanya penduduk disitu bersetuju dengan projek pembinaan tersebut namun membantah apabila mengetahui bangunan yanglebih tinggi akan dibina.
"Kawasan bukit ini tidak selamat untuk bangunan tinggi seperti pembinaan kondo yang dirancang," katanya.
Bimbang kejadian sama berulang, penduduk telah membuat aduan kepada pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya dan surat arahan pemberhentian kerja-kerja pembinaan telah dikeluarkan.
Bagaimanapun, penduduk mendakwa masih lagi melihat kerja-kerja pembinaan dijalankan.
"Kami tidak mahu kejadian yang menimpa penduduk di Setiawangsa dan Highland Tower berlaku kepada kami," kata Lau Yumiko.
Justeru mereka berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan lebih tegas kepada pemaju dan satu kajian memnyeluruh dilakukan bagi menilai kesesuaian lokasi pembinaan banglo di kawasan tersebut.