Risiko penyakit tidak berjangkit semakin meningkat di Malaysia - Subramaniam

T K Letchumy Tamboo
Jun 6, 2016 14:47 MYT
Kebanyakkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan paras kolesterol dalam darah di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat.
Kebanyakan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan paras kolesterol dalam darah dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat.
Ini adalah antara penemuan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata antara perkara yang dikenal pasti dalam tinjauan tersebut adalah rakyat Malaysia tidak banyak melakukan aktiviti fizikal semasa muda, tetapi hanya memberi keutamaan kepada aktiviti fizikal selepas sedikit tua.
“Mengapa masa 19 tahun jumlah yang buat aktiviti fizikal kurang. Sepatutnya itu yang umur main bola sepak dan sebagainya.
"Tetapi angka kita sebenarnya menunjukkan, peratusan yang melakukan aktiviti fizikal meningkat pada umur pertengahan iaitu dari 40 hingga 59 tahun. Anda tahu mengapa? Ini kerana masa itulah anda berjumpa dengan doktor dan berkata ada masalah dengan jantung anda, tekanan darah anda sudah naik, sudah kena diabetes.
“Jadi, bersenam bukannya sebahagian daripada kehidupan kita. Itulah mesej yang saya dapat daripada tinjauan ini,” katanya semasa satu sesi soal dan jawab bersama media di sini, hari ini.
Kajian NHMS ini telah dijalankan setiap 10 tahun sekali sejak tahun 1986 sehingga 2006, tetapi, bagi memastikan data yang didapati lebih terkini, kekerapan kajian ini telah dipertingkatkan kepada empat tahun sekali sejak tahun 2011.
Antara kaedah yang digunakan untuk mengumpulkan data terkini ini adalah melalui temu ramah dan borang kaji selidik, di mana maklumat yang diperoleh kemudiannya digabung menjadi statistik.
Seramai 30,000 penduduk dari 10,000 kediaman di seluruh negara telah dipilih secara rawak untuk kajian ini dengan peratusan maklumbalas sebanyak 86.4 peratus.
Beberapa masalah kesihatan rakyat Malaysia telah dikenal pasti melalui tinjauan ini termasuk sebanyak 3.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes dan 6.1 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidapi penyakit hipertensi.
Tinjauan ini turut mendapati bahawa 9.6 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mempunyai paras kolesterol yang tinggi dalam darah.
#Datuk Seri Dr S. Subramaniam #penyakit tidak berjangkit #Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan
;