Risiko pembesaran prostat lebih tinggi bagi individu 50 tahun ke atas - Pakar

Irfan Faruqi
November 29, 2023 22:52 MYT
Christopher berkara individu berusia 50 tahun ke atas berisiko lebih tinggi menghidapi penyakit pembesaran prostat. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Individu berusia 50 tahun ke atas berisiko lebih tinggi menghidapi penyakit pembesaran prostat berbanding golongan lebih muda.
Pakar Perunding Urologi, Endourologi & Pembedahan Robotik Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway, Dr. Christopher Lee Kheng Siang berkata, gejala akan semakin ketara apabila individu terbabit menginjak ke usia 60-an dan 70-an.
“Penyakit ini melibatkan lelaki yang berusia lebih lanjut, dengan usia 50 tahun ke atas. Sebenarnya prostat ini akan terus membesar selagi seseorang itu hidup.
“Kalau pada usia 50 tahun belum ada simptom, berkemungkinan apabila usia meningkat kepada 60 atau 70-an simptom akan mula jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Jelasnya, antara gejala yang perlu diberi perhatian antaranya aliran kencing kurang lawas, sering pergi ke tandas untuk buang air kecil selain terpaksa bangun sekali atau lebih pada waktu malam untuk buang air kecil.
Menurut Christopher, meskipun penyakit pembesaran prostat ini hanya dihidapi oleh lelaki, namun amat jarang dihidapi oleh individu yang masih muda.
“Mengenai risiko untuk penyakit prostat atau hiperplasia prostat benigna (BPH) cuma berlaku dalam kalangan lelaki.
“Bagi lelaki berusia bawah 50 tahun, sangat jarang untuk alami simptom-simptom BPH. Sebenarnya prostat belum cukup besar untuk alami masalah tersebut,” ujarnya.
Agenda AWANI: Pembesaran prostat, ambil tahu risiko dan rawatan
#pembesaran prostat #kesihatan #kencing kurang lawas #masih muda
;