Risiko keselamatan: KKM batal pendaftaran ubat batuk mengandungi pholcodine
Sinar Harian
Mac 23, 2023 12:40 MYT
Mac 23, 2023 12:40 MYT
PUTRAJAYA: Orang ramai diarahkan untuk menghentikan pengambilan ubat batuk dan selesema mengandungi bahan aktif pholcodine.
Ia selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), membatalkan pendaftaran dan mengeluarkan arahan panggil balik ke atas semua produk berdaftar yang mengandungi pholcodine.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini berikutan terdapat risiko keselamatan yang dikesan iaitu risiko terjadinya anafilaksis (reaksi alahan teruk yang boleh mengancam nyawa) dengan penggunaan ubat pengendur otot (muscle-relaxant) atau neuromuscular blocking agents (NMBAs) semasa proses pembiusan umum terutamanya kepada mereka yang pernah mengambil ubat yang mengandungi pholcodine dalam tempoh 12 bulan lalu.
Dengan erti kata lain, mereka yang mengambil ubat yang mengandungi pholcodine (kebiasaannya ubat batuk) dalam tempoh 12 bulan lalu berhadapan risiko yang lebih tinggi untuk mengalami anafilaksis sekiranya diberi ubat pengendur otot atau neuromuscular blocking agents (NMBAs) semasa proses pembiusan penuh misalnya sewaktu menjalani pembedahan.
Pholcodine adalah sejenis ubat bagi mengawal dan menghentikan batuk jenis kering (nonproductive/dry, irritating) di dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak.
"Hentikan pengambilan dan rujuk kepada anggota kesihatan bagi mendapatkan rawatan alternatif.
"Bagi mereka yang perlu menjalani pembedahan dan memerlukan bius sepenuhnya, maklumkan kepada anggota kesihatan sekiranya anda pernah mengambil ubat yang mengandungi pholcodine terutamanya dalam tempoh 12 bulan lalu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Di Malaysia, pholcodine diklasifikasikan sebagai ubat terkawal Kumpulan C dan boleh diperolehi tanpa preskripsi.
Terdapat sejumlah 14 produk mengandungi pholcodine yang berdaftar dengan PBKD dalam bentuk tunggal dan kombinasi dengan ubat.
Beliau berkata, terdapat ubatan alternatif yang boleh digunakan bagi indikasi batuk jenis kering seperti produk yang mengandungi dextromethorphan.
"Sehingga kini, terdapat lebih daripada 40 produk mengandungi dextromethorphan dalam bentuk tunggal dan kombinasi dengan ubat lain yang berdaftar dengan PBKD," katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan anggota kesihatan agar berhenti memperskripsi, mendispens, menjual atau mengedar semua produk mengandungi pholcodine dengan serta-merta.
"Pesakit yang mengalami batuk jenis nonproductive hendaklah diberikan ubat alternatif.
"Semua baki stok produk yang mengandungi pholcodine perlu dikuarantin dan dipulangkan semula kepada pembekal," katanya. - Sinar Harian