Risiko banjir: Ahmad Zahid gesa penduduk ambil langkah sewajarnya, patuh arahan pihak berkuasa
Bernama
November 19, 2023 11:33 MYT
November 19, 2023 11:33 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua penduduk terutama yang berada di kawasan berisiko banjir mengambil langkah pencegahan sewajarnya susulan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Terengganu dan Kelantan hingga esok.
Menerusi hantaran di akaun Facebook beliau hari ini, Ahmad Zahid turut meminta supaya penduduk sentiasa mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
"Saya berdoa dan berharap agar keadaan banjir ini dapat dielakkan dan penduduk terhindar dari musibah kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda," menurut hantaran itu.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca itu yang melibatkan seluruh Terengganu, manakala beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai bermula 18 Nov.
Selain itu, MetMalaysia memaklumkan hujan berterusan tahap waspada turut dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kelantan, Kedah, Perak, Pahang dan Sabah dalam tempoh sama.
Kawasan terlibat di Kelantan ialah Gua Musang manakala di Kedah meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling.
Keadaan sama juga dijangka berlaku di Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar); Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Sabah (Ranau, Kota Belud, Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat).
-- BERNAMA