RISDA usaha selesaikan 12,385 hektar kebun getah tidak bertoreh tahun ini
Bernama
Mei 4, 2024 20:41 MYT
Mei 4, 2024 20:41 MYT
KOTA BHARU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sedang berusaha menyelesaikan sebanyak 12,385 hektar kebun getah tidak bertoreh dengan peruntukan sebanyak RM15 juta pada tahun ini.
Pengerusi RISDA Manndzri Nasib berkata hal ini bertujuan untuk memajukan semula sektor itu, selain membantu penoreh getah meningkatkan pendapatan mereka.
"Antara cabaran dihadapi pekebun kecil getah ketika ini ialah ketidakstabilan harga getah, cuaca panas dan ancaman binatang buas terutama di kawasan pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Masjid As-Syakirin yang dibina dengan kos RM1.25 juta dengan RISDA sebagai agensi pelaksana di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Manndzri berkata pihaknya juga turut menggalakkan penoreh menjual hasil di depot pengumpulan getah supaya memperoleh lebih banyak hasil daripada jualan bahan mentah itu.
-- BERNAMA