RISDA tingkatkan pengeluaran daging lembu halal tempatan
Bernama
April 26, 2022 07:10 MYT
April 26, 2022 07:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui anak syarikatnya RISDA Livestock Sdn Bhd (RLSB) akan meningkatkan pengeluaran daging lembu halal dalam negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada daging import.
Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata bahawa RLSB akan meningkatkan pengeluaran daging lembu halal dari kadar tujuh peratus kepada 30 peratus pengeluaran daging dalam negara.
"Usaha ini adalah bagi mendukung aspirasi RISDA dan kerajaan dalam menambah sumber bekalan daging negara bagi tempoh 2022 hingga 2030," katanya dalam majlis menandatangani perjanjian dengan ejen jualan korban RISDA di ibu pejabatnya pada Selasa.
RLSB akan meningkatkan keluaran daging tempatan berstatus halal selaras dasar sekuriti makanan negara dan turut mengorak langkah menghasilkan daging halal melalui hab pemprosesan daging di Semenyih.
Beliau berkata bahawa hab pemprosesan itu berkemampuan untuk menawarkan jualan bahagian lembu korban yang siap diproses dan dipek terus kepada pelanggan
"Tahun ini RISDA akan bekerjasama dengan Koperasi Pos Nasional Berhad, Protaz International Sdn Bhd dan Mamu Livestock Sdn Bhd dan menyasarkan sebanyak 1,000 ekor lembu akan dikorbankan bagi memenuhi permintaan peserta ibadah korban.
"Peserta korban hanya perlu membuat pesanan melalui ejen yang dilantik dan RLSB akan menguruskan proses pemilihan dan penyembelihan, daging korban turut dipek vakum sebelum diserahkan kepada peserta dalam bentuk karton malah RLSB boleh turut mengedarkan daging korban tersebut kepada pihak asnaf," katanya.
-- BERNAMA