RISDA patut henti polemik tanam, edar ketum - TPM
Tan Su Lin
Ogos 4, 2016 15:26 MYT
Ogos 4, 2016 15:26 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menghentikan polemik tentang penanaman dan pengedaran daun ketum.
Kata beliau, hasil sesi taklimat dengan pakar dari Kementerian Kesihatan dan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik mendapati ia mendatangkan lebih banyak keburukan dari kebaikan.
Justeru kerajaan memutuskan pokok ketum dilarang untuk ditanam dan daun ketum diedar atau dieksport.
"Kita telah mendapat beberapa input secara saintifik bahawan biarpun ketum ini mempunyai unsur-unsur kebaikan tetapi dari segi saintifik, lebih banyak unsur tidak baik jika ia digunakan kerana boleh menyebabkan ketagihan dan menimbulkan penyakit yang tertentu.
"Oleh demikian kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan memutuskan bahawa daun ketum tidak boleh untuk diizinkan bagi ditanam secara komersial atau dipasarkan, apatah lagi jika ada niat untuk mengeksport ke negara luar," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Media Prima di sini, hari ini.
Namun beliau tidak menolak bahawa penggunaan daun ketum untuk tujuan kajian saintifik dan perubatan masih boleh dilakukan terutamanya oleh Institut Kajian Perubatan (IMR).
"Perkara ini akan mengambil masa jadi buat masa ini kerajaan memutuskan bahawa tidak diizinkan untuk daun ketum ditanam secara komersial diedarkan dan digunakan kerana kebaikan cuma sedikit dan keburukan lebih banyak. Itu keputusan dilakukan oleh pihak kerajaan," katanya.
Ditanya sekiranya ada pihak yang masih bertegas mengguna atau mengedar daun ketum, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata: "kita lakukan tindakan mengikut Akta Racun di bawah Kementerian Kesihatan."