Risau keadaan trafik untuk balik dari kampung? Pantau secara masa nyata dengan aplikasi ini
Amanz
April 12, 2024 17:07 MYT
April 12, 2024 17:07 MYT
SAYA yakin ada yang sudah berkira-kira untuk kembali ke kediaman masing-masing dari kampung selepas puas berhari raya dua hari lalu.
Saya percaya masih belum terlambat untuk memberikan tip saat akhir (sama sahaja seperti tip bayar zakat saat akhir kami saban tahun).
Sekiranya anda merancang untuk balik dari kampung hari ini dan ingin mengetahui keadaan trafik secara masa nyata, saya sarankan anda muat turun aplikasi PLUS App.
Aplikasi ini akan memberikan anda akses kepada kamera-kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang jalan yang anda akan lalui.
Hanya perlu pergi bahagian “Plan Your Journey” dalam aplikasi. Masukkan pula destinasi pintu masuk dan pintu keluar destinasi anda.
Aplikasi akan memberikan anda jumlah simpang keluar, jumlah tempat Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, tempat motosikal berteduh, dan juga perhentian menarik sepanjang perjalanan.
Terdapat juga ciri akses CCTV berhampiran jika anda tidak mahu menggunakan ciri Plan Your Journey.
Paling penting bagi saya ialah akses kepada semua CCTV sepanjang jalan secara masa nyata.
Ini penting untuk melakukan perubahan perjalanan jika saya mengesan kesesakan di hadapan sebelum ia dilaporkan akaun X @PLUSrafik dan juga Waze.
Yang membuatkan aplikasi ini perlu dimuat turun ialah ia memberitahu di mana terletaknya Smartlane yang membolehkan bahu jalan digunakan kenderaan, kawasan jalan yang sedang dibaiki, dan kesemua kawasan R&R.
Dengan ini, anak yang secara tiba-tiba ingin pergi tandas boleh diberitahu R&R ada dalam jarak terdekat tanpa perlu mereka 'qada’ hajat di tepi lebuh raya.
Muat turun aplikasi ini jika anda menggunakan lebuh raya PLUS. Selamat Hari Raya, Maaf Analog dan Digital! -Amanz