Rintihan pekerja warga asing berkaitan kenaikan cukai
Khairul Wasiril Aswad
Februari 1, 2013 06:27 MYT
Februari 1, 2013 06:27 MYT
Pekerja warga asing di beberapa tempat di Kuala Lumpur bagaikan terkejut dengan berita kenaikan gaji serta pembayaran levi yang perlu ditanggung sepenuhnya oleh mereka berkuat kuasa serta merta.
Tinjauan Astro Awani mendapati, rata-rata pekerja warga asing bimbang tidak mampu membayar kenaikan cukai yang harus ditanggung berikutan kadar hidup yang tinggi selain tidak diberi kenaikan gaji.
Menurut seorang warga negara Nepal, Jarezzani Kama Razmee yang bekerja sebagai pebantu di pasar raya di Jalan Pudu, dia lansung tidak mengetahui tentang kenaikan cukai ditetapkan kerajaan sehingga diberitahu rakan.
“Bagaimana untuk saya membayar kadar cukai yang meningkat RM40 hingga RM80 sebulan walhal harga pembaharuan permit yang terdahulu sebanyak RM1500 pun sangat sukar untuk dilangsaikan berikutan kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur,” kata Jarezzani.
Seorang lagi pekerja warga Bangladesh, Jamil Ahmad Najir berkata: "Kebiasaannya saya menghantar RM400 kepada keluarga saya di kampung halaman, namun kos itu terpaksa dikurangkan bagi menampung kenaikan cukai."
“Berikutan peningkatan kadar cukai yang perlu dibayar, saya terpaksa mengurangkan kos penghantaran kepada RM250 hingga RM300 sahaja sebulan kepada keluarga bagi mengelakkan perbelanjaan harian saya disini terganggu,” menurut Jamil.
Sementara itu, Junaidi Abdul Jalil yang bekerja sebagai pebantu di kedai makanan mendakwa, dengan gaji yang diterima buat masa kini sememangnya tidak mencukupi bagi menampung pembayaran cukai namun apabila bertanya tentang kenaikkan gaji kadar minimum kepada majikannya, dia sering dimarahi.
“Sewaktu saya bertanyakan kepada majikan tentang kenaikan gaji, pihaknya memarahi serta memberi ugutan akan dibuang kerja jika bertanya soal kenaikan gaji minimum terhadap mereka,” menurut Junaidi ketika ditemu ramah.
Tindakan pengusaha atau majikan mengendahkan kenaikan gaji minimum terhadap pekerja asing dilihat sebagai penambah bebanan sekaligus menyukarkan pekerja asing bagi membuat pembayaran cukai levi yang perlu ditanggung setiap pekerja.
Kabinet baru-baru ini memutuskan bahawa bayaran levi pekerja asing kini perlu ditanggung sepenuhnya oleh tenaga kerja itu dan bukan lagi majikan yang berkuat kuasa serta-merta.
Pada Rabu lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kadar perlu dibayar oleh golongan terbabit adalah antara RM34.16 hingga RM154.16 sebulan tidak sepatutnya membebankan mereka berbanding peningkatan gaji secara umumnya antara RM300 hingga RM500 (sebulan).
Ahmad Husni berkata dengan pelaksanaan (gaji minimum) semua pekerja termasuk pekerja asing akan dapat faedah lain seperti jumlah gaji kerja lebih masa, menjadikan pendapatan keseluruhan secara purata mencapai RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.