KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada hari kedua berturut-turut untuk menghampiri paras sokongan segera RM4.3259, kata pakar ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menokok kepada 4.3270/3325 berbanding dolar AS daripada 4.3400/3445 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data indeks harga pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) pada malam ini akan menjadi tumpuan utama.

"Bagaimanapun, trend disinflasi telah meluas dan Rizab Persekutuan AS bersedia untuk mengalihkan tumpuan kepada mengekalkan guna tenaga yang maksimum.

"Ini pada asasnya bererti mengurangkan kadar penanda aras tepat pada masanya adalah penting kepada senario pertumbuhan penurunan yang sederhana. Sehubungan itu, ringgit perlu kekal positif," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata paras sokongan seterusnya pada sekitar RM4.2128 sekiranya ia melepasi paras sokongan semasa RM4.3259.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.7774/7835 daripada 4.7909/7959 semasa ditutup pada Selasa,naik berbanding pound Britain kepada 5.6623/6695 daripada 5.6850/6909 sebelumnya,tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.0558/0599 daripada 3.0309/0343.

Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8523/8752 daripada 12.8581/8764 semalam dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3223/3268 daripada 3.3257/3294.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 280.8/281.4 daripada 280.7/281.2 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.75 daripada 7.69/7.71.

-- BERNAMA