Ringgit merosot, Permaisuri Johor tawar bantuan kepada pelajar Malaysia di luar negara
Kohilah Sekaran
Ogos 21, 2015 16:28 MYT
Ogos 21, 2015 16:28 MYT
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyatakan kebimbangan baginda terhadap pelajar Malaysia di United Kingdom dan juga Amerika Syarikat yang kemungkinan besar sedang menghadapi masalah kewangan berikutan kejatuhan ringgit Malaysia.
Menurut Raja Zarith Sofiah melalui satu kenyataan Facebook, baginda risau jika pelajar Malaysia yang kini menetap di UK serta AS mempunyai wang yang cukup untuk perbelanjaan mereka serta bimbang dengan beban yang mungkin dialami oleh ibu bapa atau keluarga pelajar tersebut bagi pengajian mereka.
“Berapa banyak duit yang tinggal untuk mereka membeli makanan selepas mereka menjelaskan pembayaran untuk sewa serta perbelanjaan pengangkutan setiap hari?
"Berapa banyak duit yang mampu dihantar oleh ibu bapa atau keluarga mereka ?” tulis Raja Zarith yang juga merupakan seorang graduan Universiti Oxford.
“Saya kini sedang bercuti di UK, tetapi saya bernasib baik kerana saya mampu menanggung kemewahan di sini.
“Kepada rakyat Malaysia yang menetap ataupun sedang menuntut pengajian di UK sila maklumkan bagaimana saya boleh membantu anda,” sambung Permaisuri Johor.
Kenyataan Facebook tersebut menerima lebih dari 14 ribu ‘likes’ serta 650 komen.
Para netizen juga tidak melepaskan peluang untuk memuji kemuliaan hati serta keprihatinan baginda kerana sudi menolong pelajar Malaysia yang tidak berkemampuan.
Gambar diperoleh dari Facebook Zarith Sofiah Idris
Ringgit telah menurun 6.6 peratus berbanding dolar AS pada bulan ini, yang menurut Perdana Menteri, ia dipengaruhi cabaran dalam ekonomi global semasa termasuk harga minyak dan semakan turun yuan.
Hari ini, mata wang Malaysia berada pada 6.53 berbanding pound sterling dan 4.16 berbanding dolar AS.