Ringgit jatuh bukan kerana PM Najib dan 1MDB
Rahimah Abdullah
Januari 5, 2017 16:53 MYT
Januari 5, 2017 16:53 MYT
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah menafikan dakwaan bahawa kejatuhan mata wang ringgit disebabkan 1MDB dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Tegasnya, dakwaan itu adalah persepsi yang sengaja dicipta sesetengah pihak.
"Kesemua persepsi itu telah dicipta oleh pihak-pihak tertentu. Persepsi ini perlu diperbetulkan. Jadi taklimat yang diadakan hari ini akan pastikan persepsi itu diperbetulkan," katanya dalam sidang media mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Tegasnya, keadaan ekonomi dan hutang negara ketika ini masih terurus dan terkawal.
Justeru, beliau mengingatkan mana-mana pihak agar menghentikan persepsi negatif terhadap negara demi kelangsungan ekonomi dan pengukuhan mata wang ringgit.
"Jadi kita perlu membetulkan persepsi itu. Ia hanyalah cakap-cakap yang cuba menimbulkan masalah. Saya ingin mendesak kepada pihak yang membuat persepsi berkenaan agar cuba memberikan gambaran ekonomi negara kita yang sebenar berlaku dan sebagainya," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan, projek-projek pembangunan negara bukan penyumbang masalah kepada kejatuhan ringgit malahan ia akan tetap diteruskan.
"Kami akan meneruskan projek-projek pembangunan sedia ada. Saya tidak melihat projek ini memberikan masalah. Ia bukanlah kerana pelaksanaannya yang lemah. Sebaliknya, ia (projek) adalah kekuatan (kepada negara)," tambahnya.
Beliau yakin ketidaktentuan ekonomi terutama kejatuhan ringgit hanyalah sementara.
"Ia hanyalah isu jangka pendek. Pada masa akan datang, semuanya akan kembali normal. Malah, pelabur dan pedagang asing juga menyambut susut nilai ringgit kerana mereka menjual lebih banyak produk kita dan meningkatkan persaingan di pasaran," ujar beliau.
Mengulas lanjut kejatuhan susut nilai ringgit, beliau berharap matawang negara tidak akan mencecah atau melepasi RM5.00 berbanding dollar.
"Kita mahu pengukuhan ringgit yang lebih baik iaitu di bawah (RM5.00). Sekali lagi, kita berada di dalam ekonomi terbuka, akan ada kumpulan-kumpulan yang mempengaruhi pasaran, saya tidak kata ia tidak akan berlaku di masa hadapan, ia mungkin akan berlaku lagi,"
Justeru katanya, semua pihak perlu menerima kenyataan bahawa dalam menghadapi pasaran terbuka, akan ada penurunan dan kenaikan ringgit, harga komoditi dan harga minyak.
"Jadi, dunia sedang menghadapi situasi normal ekonomi global. Kita perlu sentiasa bersedia menghadapinya di setiap sudut," ujarnya.