Rindu keluarga punca empat kanak-kanak larikan diri

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 3, 2018 08:55 MYT
Kanak-kanak itu ditempatkan di rumah perlindungan atas faktor pengabaian oleh keluarga. - Astro AWANI
Rindu dan mahu bertemu keluarga antara sebab empat kanak-kanak dari Rumah Perlindungan Taman Bakti, Kepala Batas, Pulau Pinang nekad melarikan diri Ahad lepas.
Tiga daripada empat kanak- kanak berusia sembilan hingga 12 tahun itu berasal dari negeri Kedah dikatakan menaiki bas dari Butterworth menuju ke Alor Star untuk menemui keluarga masing-masing di negeri itu.
Bagaimanapun, mereka tidak pulang ke rumah keluarga sebaliknya ditemui orang awam dalam keadaan berkeliaran dan mengemis untuk membeli makanan.
Polis yang menjalankan Ops Kesan berjaya menyelamatkan kesemua mereka dan membawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara malam tadi sebelum dihantar ke Hospital Kepala Batas(HKB) untuk pemeriksaan kesihatan.
Siasatan awal pihak polis mendapati rancangan melarikan diri itu dicetus seorang kanak-kanak yang berasal dari Tanjong Tokong, Pulau Pinang yang mahu membantu rakan-rakannya bertemu keluarga.
Berita kehilangan kanak-kanak itu kemudian mula tersebar luas di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD SPU yang melancarkan Op Kesan.
Katanya, empat kanak-kanak dilaporkan hilang dipercayai melarikan diri dengan keluar melalui tingkap bilik asrama rumah kebajikan berkenaan pada Ahad lepas.
Kejadian jam 10 malam itu disedari seorang petugas yang melakukan pemeriksaan lalu melaporkan insiden berkenaan kepada pihak polis.
Noorzainy berkata, empat kanak-kanak itu ditempatkan di rumah perlindungan berkenaan antara tahun 2012 dan 2017 atas faktor pengabaian oleh keluarga.
#Alor Setar #Kanak-kanak #lari #Noorzainy Mohd Noor #Op Kesan #rindu #Rumah Perlindungan Taman Bakti
;