Rindu 'Kak Teh': Perpisahan 50 tahun, moga Syawal ini jadi titik pertemuan

Ifti Femida
April 14, 2022 18:57 MYT
Batliyah Din ditemani Soid Bidin ketika menceritakan kisah kakaknya Che Putih Din di Felda Padang Piol, Jerantut. - Foto Astro AWANI
JERANTUT: “Pulanglah Kak Teh walaupun sebentar. Sopia rindu sangat-sangat. Dapat jumpa sekejap di pagi Syawal nanti pun sudah cukup memadai."
Demikian luahan warga emas, Batliyah Din atau mesra dipanggil Sopia, 62, yang mengharapkan kakak kandungnya, Che Putih Din (panggilan keluarga Kak Teh) agar dapat kembali ke pangkuan keluarga setelah terpisah kira-kira 50 tahun lalu.
Katanya, sejak berpisah dia tidak henti-henti berdoa agar dapat berjumpa dengan kakaknya terutama ketika menjelang Ramadan dan Syawal.
"Setiap kali berbuka puasa dan menjelang Hari Raya Aidifitri, saya sering teringat akan Kak Teh dan terkenang ketika masih kecil selalu bermain bersama-sama. Rasa rindu itu kian menebal sejak kebelakangan ini hingga tidak tertahan lagi dan menerbitkan air mata.
"Ketika arwah ibu dan bapa meninggal dunia pun Kak Teh tidak pulang selepas dia keluar dari rumah pada tahun 1973," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Padang Piol.
Menurut Batliyah, Kak Teh anak ketiga daripada tujuh beradik pernah bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, tiba-tiba keluar rumah meninggalkan keluarga, kemungkinan arwah bapa dan ibu tidak bersetuju permintaannya untuk berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai sudah mempunyai isteri.
“Pada waktu itu, kami sekeluarga tinggal di Kampung Pantai Perai, Kedah selepas ayah saya, Din Mohamad bersara sebagai anggota polis di Balai Polis Penang Road, Pulau Pinang sekitar awal 70-an. Seingat saya dua kali Kak Teh membawa lelaki berkenaan meminta persetujuan bapa dan ibu untuk berkahwin, tetapi permintaannya tetap ditolak.
"Ketika Kak Teh meninggalkan kami, saya baharu berusia 15 tahun, manakala dia dalam lingkungan 20-an. Sejak itu kami tidak lagi mendengar khabar berita sehingga kini," katanya.
Batliyah yang kini menetap di Felda Padang Piol sejak dua tahun lalu setelah berkahwin dengan Soid Bidin, 69, yakin kakaknya berada di Pahang atau Pulau Pinang.
"Saya pernah mendengar perkhabaran daripada seorang ahli keluarga kami, Kak Teh bersama suami yang dinikahinya berhijrah ke Pahang mencari kerja sekitar 1974 atau 1975 dan ada yang menyatakan dia tinggal di Balik Pulau, Pulau Pinang.
"Saya pernah beberapa kali cuba mencarinya di Balik Pulau, tetapi hampa kerana tidak berjumpa dan tidak tahu lagi di mana Kak Teh tinggal walaupun dia kini dipercayai berada di Pahang," katanya.
Batliyah menambah, Kak Teh kini dianggarkan berusia 70-an merupakan seorang kakak yang cukup penyayang kerana sewaktu zaman kanak-kanak, dia (Kak Teh) kerap membeli baju baharu setiap hujung bulan ketika mendapat gaji kerja kilang, malahan banyak berbelanja untuk keluarga ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri.


"Kenangan itu menyebabkan saya sangat merinduinya selain berharap Kak Teh muncul di pagi Syawal nanti. Lupakan kisah lama kerana masing-masing sudah pun berusia lanjut dan bila-bila masa akan kembali menghadap Allah SWT.
“Kak Teh datanglah ke Felda Padang Piol menemui saya dan kita boleh mengatur pertemuan supaya dapat bertaut kembali dengan adik-beradik yang lain yang masih tinggal di Kedah dan Perlis," katanya.
Batliyah berkata, orang ramai terutamanya Che Putih (Kak Teh) atau waris yang membaca kisah ini dapat menghubunginya menerusi talian 014- 6389428 atau datang ke rumah bernombor 410 Felda Padang Piol, Jerantut.
"Sekiranya Kak Teh uzur, saya sanggup pergi berjumpanya. Pintu rumah saya terbuka luas untuk Kak Teh.
"Apa yang saya harapkan agar Kak Teh dapat pulang sekali gus mengubati kerinduan ini.
"Moga ikatan kekeluargaan kita bertaut kembali sekali gus dapat sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," ujarnya sayu.
#sambutan Syawal #Jerantut #lama terpisah #Kak Teh #Batliyah Din #hari raya #Aidilfitri
;