Rindu belaian dan kasih ibu
Nabihah Hamid
April 10, 2014 09:05 MYT
April 10, 2014 09:05 MYT
KUALA LUMPUR: Sejak kecil dia berhasrat untuk mendapatkan belaian dan kasih seorang ibu, namun apakan daya, ia hanya tinggal impian kerana ibu tersayang menghilangkan diri ketika dia berusia 9 tahun.
Walaupun usia Wong Tai Meng sudah menjangkau lebih setengah abad, perasaan untuk mencari dan kembali bertemu ibu tercintanya, Tan San Kim tidak pernah pudar.
"Saya mahu tahu status ibu saya. Sama ada dia hidup atau sudah mati, kita mahu tahu. Saya tiada peluang merasai kasih sayang ibu. Saya selalu lihat orang lain ada ibu, tapi saya tidak," luah Tai Meng ketika ditanya mengenai hasratnya itu.
Dengan menahan rasa sebak, menahan air mata yang bergenang, Tai Meng menjadikan kenangan bersama ibunya sebagai semangat untuk dia mencari wanita yang berasal dari Pulau Pinang itu.
Dalam misi menjejaki ibunya, Tai Meng nekad mengambil keputusan untuk menjadi pemandu teksi dengan harapan, satu ketika nanti, salah seorang penumpang yang menaiki teksi adalah ibunya yang dicari sekian lama.
Namun, sudah lebih 20 tahun dia mencari rezeki dengan memandu teksi, kelibat ibunya masih gagal ditemui.
Dibela neneknya sejak kecil, ibunya hilang meninggal mereka empat beradik sejak Tai Meng berumur 9 tahun. Katanya, jika ibunya masih hidup, dia mungkin berumur lingkungan akhir 70 an.
"Pasar Pudu, di tempat orang jual banyak makanan. Itulah kali terakhir saya lihat ibu saya. Sehingga kini nenek tidak pernah cerita apa punca ibu pergi,"
"Saya waktu itu masih kecil, saya susah nak ingat wajah ibu saya. Kami adik-beradik hanya bergantung pada gambar."
Hati Wong kuat mengatakan ibunya masih hidup dan dia amat berharap wanita yang melahirkannya akan pulang serta mengetahui anak-anaknya masih menunggu.
"Saya masih ingat, waktu kecil, dia mandikan saya, tolong pakaikan saya baju. Itu kenangan yang paling saya tidak dapat lupakan,"
Tanpa kenal erti putus asa, Tai Meng menggunakan pelbagai platform untuk mencari ibunya.
Antara usaha terbaru ialah menyertai program Wish List yang dianjurkan Lite FM terbitan rangkaian Radio Astro. Tai Meng turut merancang untuk menjejaki ibunya di Pulau Pinang, negeri asal ibunya.