Rindu anak cucu, ingin berjemaah di masjid, dorong warga emas mahu segera divaksinasi

Shuhada Abdul Kadir
Jun 14, 2021 17:15 MYT
Leman bersyukur akhirnya menerima suntikan dos pertama vaksin itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Dewan Semai Budi, FELDA Kepis, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA PILAH: Terlalu rindu anak-anak dan cucu yang berada jauh di perantauan serta ingin kembali menunaikan solat berjemaah di masjid menjadi faktor pendorong seorang warga emas mahu segera mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Leman Jamal, 73, bersyukur dia akhirnya menerima suntikan dos pertama vaksin itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Dewan Semai Budi, FELDA Kepis di sini, hari ini.
Ujar bapa kepada tujuh anak itu, dia ternanti-nanti untuk mendapatkan suntikan vaksin, malah cemburu apabila isterinya sudah menerimanya lebih awal ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Pilah, bulan lalu.
Katanya, di usia yang semakin senja, hanya dua perkara yang dia mahu lakukan iaitu menghabiskan sisa hidupnya bersama keluarga serta beribadat di masjid.
Namun dalam nada sebak, Leman berkata, dia terkilan pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia merencatkan hasratnya itu.
Katanya, bukan sahaja anaknya yang berada di Sabah dan Johor tidak dapat pulang, malah yang menetap di Seremban juga gagal berbuat demikian kerana terpaksa akur dengan perintah total lockdown ketika ini.
"Yang paling hampir sekali duduk di Seremban, sudah berapa lama tak dapat jumpa... Sebelum ini, setiap minggu mereka balik, dapat jumpa setiap minggu, rasa rindulah pada mereka, nak berjumpa balik.
"Teringin sangat nak berkumpul ramai-ramai seperti dulu, teringin hendak peluk dan cium anak serta cucu yang kini semuanya jauh," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dia berharap, pandemik COVID-19 akan dapat diatasi apabila ramai rakyat divaksinasi seterusnya membolehkan kehidupan kembali seperti sedia kala, sekai gus dia juga dapat bertemu semua anak dan cucunya.
Dalam pada itu, warga emas berkenaan turut bersyukur apabila layak mendapatkan suntikan dos pertama vaksin di PPV bergerak yang diadakan di kawasan kediamannya.
"Saya tak dapat tidur lena kerana terlalu teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin sebelum ini. Alhamdulillah syukur sangat dah dapat vaksin," katanya.
Leman adalah antara 200 penduduk FELDA Kepis yang menerima suntikan vaksin di PPV bergerak berkenaan hari ini. Secara keseluruhan, seramai 1,000 penduduk dijangka akan menerima suntikan pada program yang berlangsung selama lima hari sehingga 18 Jun ini.
#warga emas #vaksin #rindu anak #rindu cucu #hasrat #usia senja #berjemaah di masjid #felda kepis #ppv bergerak
;