Rindu akan Tok Nan masih tebal biar dua tahun berpergian abadi
Rudi Affendi Khalik
Januari 11, 2019 22:50 MYT
Januari 11, 2019 22:50 MYT
AMAT jarang dalam sejarah Sarawak, pemergian seorang pemimpin diratapi dan diruntuni.
Namun tidak bagi Tan Sri Adenan Satem, atau Tok Nan, negarawan 72 tahun yang menghembuskan nafas terahirnya pada jam 1.24 tengah hari tepat jam dua tahun lalu.
Allahyarham Tok Nan pergi dengan tenang, tetapi tidak bagi rakyatnya. Rakyat menyambut berita duka itu dengan jiwa lara, tangisan dan sedu tanpa henti.
Justeru tidak hairanlah jika konvoi yang membawa jenazahnya kembali ke kediamannya di Santubong mahupun sewaktu menghantarnya dalam perjalanan akhir ke Tanah Perkuburan Samariang, rakyat berpusu-pusu berada di pinggir jalan memberi penghormatan terakhir.
Lebih menyentuh, pusaranya tidak sunyi dikunjungi rakyat jauh selama lebih tiga bulan.
Allahyarham Tok Nan bukanlah pemimpin hebat pada usia mudanya. Bukanlah pemimpin ternama sepanjang kerjaya emasnya sebagai pengikut setia Tun Abdul Taib Mahmud bertaraf menteri. Namun trademarknya yang senang didekati, selain perwatakannya yang gemar ‘berpelente’ atau bergurau. Ia menjadikannya disenangi selain sikapnya berterus terang.
Adenan memulakan kerjayanya sebagai pegawai pendakwaraya Adelaide, Australia pada tahun
1969 sebelum dilantik sebagai Majistret pada 1971.
Pada 1972, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha, Kementerian Perindustrian Utama sebelum berhenti dan menyertai sektor guaman pada tahun 1975.
Adenan kemudian menyertai politik dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang dan Tanjung Datu di antara tahun 1978 hingga kepada kematiannya pada 2017.
Karier politiknya terus berkembang apabila dilantik Menteri Muda pada 1985 dan dinaik pangkat kepada menteri penuh pada 1987, susulan insiden Ming Court pada 1987.
Sejak itu, bintang politik beliau yang terkenal dengan kepakarannya dalam bidang tanah hak adat Bumiputera, terus bersinar.
Secara berterusan sehingga 2004, beliau dilantik dalam pelbagai portfolio sebelum diminta untuk berkhidmat di peringkat Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2004, sejurus memenangi kerusi Parlimen Batang Sadong.
Kerana jiwanya tebal untuk Sarawak, Adenan mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan tersebut selepas dua tahun menyandangnya.
Beliau merupakan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), jawatan yang disandangnya sejak 1988 selepas tewas pada pemilihan Timbalan Presiden Parti kepada rakan karib dan rakan sekampungnya, Datuk Abang Johari Tun Openg.
Tindakan Adenan melepaskan jawatan di peringkat pusat pada 2006 serta beberapa rentetan lain selepas itu, meletakkan dirinya hilang dari radar politik. Adenan benar-benar sepi daripada berita dan dalam pemilihan parti kemudiannya, beliau membuat keputusan mengejut untuk tidak bertanding.
Namun Abdul Taib tetap melantiknya sebagai Ketua Penerangan parti dan pada September 2010, sebelum melantiknya kembali kepada kedudukan menteri, sebagai Penasihat Khas Ketua Menteri bertaraf menteri sebelum dilantik sepenuhnya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas.
Ketika inilah Adenan sebenarnya bertarung detik sukar apabila terpaksa melakukan pembedahan kerana komplikasi jantung, yang kemudian memaksanya menggunakan perentak jantung.
Pada suatu ketika, Adenan dilaporkan mengalami detik paling sukar, dan banyak yang menyangkanya tidak mampu bertahan lama.
“ Tuhan masih sayang aku. Nya berik aku peluang kedua. Nya nyuruh aku berkhidmat untuk rakyat. Membela nasib rakyat,” kata arwah ketika ditemui penulis suatu ketika dahulu mengimbas detik itu.
Tidak lama selepas pulih daripada derita jantung, Tok Nan dipujuk oleh Abdul Taib untuk menggantikannya. Tok Nan berkali-kali menolaknya hingga terpaksa meminta isterinya, Puan Sri Jamilah Anu untuk memujuknya menerima jawatan tersebut.
Adenan hanya menerima keputusan itu agak lama, selepas beliau bersama-sama Abdul Taib, kembali berunding mengenai perkara tersebut di Mekah, ketika mereka menunaikan umrah. Rundingan inilah yang dinamakan "Rundingan Mekah".
ADUN Jemoreng yang juga bekas Mufti Perlis, Datuk Paduka Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya yang turut berada di sisi Adenan ketika itu mengimbas kata Adenan: “ Aku tok disuruh Taib jadi Ketua Menteri. Ginei fikir kawu?"
Hanya selepas itu kata Dr Juanda, Adenan menetapkan keputusannya untuk menerima pelawaan itu, dengan harapan untuk membantu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutama di luar bandar.
Dan tindakan tersebut berjaya dilakukan dengan jayanya, apabila sejak dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014, beliau melaksanakan lebih 60 inisiatif yang berpaksikan rakyat, termasuk menghapuskan tol, mengurangkan tarif elektrik, dan yang paling popular, memulakan inisiatif menuntut hak autonomi Sarawak.
Adenan diingati dan dikenangi kerana itu.Tiga tahun sebelum beliau meninggal dunia, beliau berkhidmat tanpa henti, biarpun ada ketikanya secara “disembunyikan”, beliau dikejarkan ke hospital kerana pengsan dan tidak bermaya. Malah beliau gagah mempengerusikan mesyuarat PBB yang terakhirnya biarpun pada waktu itu keadaannya begitu lemah.
Adenan seorang yang tegas dan garang namun beliau juga seorang yang penyayang, terbuka dan paling penting pelawak dan penyanyi. Beliau seorang pencerita dan pembaca buku yang hebat.
Namun karektor yang paling penting, beliau bukan pendendam, sedia memaaf dan tidak suka mendengar perkataan yang buruk kepada orang lain.
Mungkin kerana itu, pemergiannya tidak sampai sebulan sebelum ulang tahun perkahwinannya dengan Puan Sri Jamilah Anu ke-37 pada tanggal 14 Februari begitu dirasai.
Bagi kalangan wartawan, termasuk saya, tiada lagi menteri dan “bapa” yang boleh mengarahkan media berhenti mengambil gambar, mahupun yang boleh mematikan pertanyaan wartawan dengan satu perkataan, sama ada “ya” atau “tidak”, atau yang selamba berjalan lalu sambil tidak mempedulikan wartawan yang menghambur pelbagai pertanyaan. Meski memiliki watak yang luar biasa itu, beliau tetap disayangi dan
digeruni.
Tiada siapa menyangka akan pemergian Tok Nan pada hari itu kerana beberapa jam terakhir sebelumnya, sempat mengarahkan Abang Johari dan Datuk Amar Douglas Uggah agar melaksanakan pentadbiran negeri dan menyelesaikan isu tanah yang "panas".
Itulah pejuang dan negarawan sejati. Sehingga ke akhir hayatnya, fikir dan jiwanya tetap kepada negeri tercinta.
Terima kasih Tok Nan. Al-Fatihah.
#Abdul Taib Mahmud
#Adenan Satem
#ADUN
#Bumiputera
#Hospital
#Ketua Menteri
#Mekah
#meninggal dunia
#pemilihan
#Taib Mahmud
#umrah